DESCHAMPS melayan pertanyaan wartawan di Clairefontaine-en-Yvelines, pusat latihan Perancis hari ini. — FOTO AFP
DESCHAMPS melayan pertanyaan wartawan di Clairefontaine-en-Yvelines, pusat latihan Perancis hari ini. — FOTO AFP
Reuters

PERANCIS mungkin diundi dalam kumpulan mudah pada kelayakan Euro 2020 namun jurulatih Didier Deschamps tidak mahu memandang remeh apabila mereka memulakan kempen menentang Moldova, Jumaat ini.

Juara dunia itu diundi dalam Kumpulan H bersama Moldova, Iceland, Albania, Turki dan Andorra.

“Sejarah membuktikan Perancis sering kali bergelut pada kempen kelayakan,” kata Deschamps pada sidang akhbar di Paris, hari ini.

Les Bleus dijangka berdepan pasukan yang terlalu bertahan ketika mereka dianggap pilihan utama untuk mengungguli kumpulan itu.

“Mereka dijangka bertahan, walaupun jika mereka boleh menyerang. Kami tidak mempunyai ruang, kami pernah bertemu lawan sebegitu,” kata Deschamps, yang mengemudi Perancis ke final Euro 2016 dan kejuaraan dunia di Russia tahun lalu.

“Kami perlu bersungguh-sungguh dan berjuang. Tapi ia tidak pernah mudah dan kami tahu mengenainya. Kami tahu apa yang boleh dijangka. Ia bukannya perlawanan yang ideal buat kami.”

Selepas kunjungan ke Chisinau, Perancis akan berdepan Iceland di Stade de France, Isnin depan.

Ketika kebanyakan pemainnya terbabit dengan tugasan domestik semalam, Deschamps tidak mempunyai masa mencukupi untuk mempersiapkan pasukannya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Mac 2019 @ 11:27 PM