AN Najwa bersama trofi pemain paling bernilai yang diterima pada Kejohanan Bola Jaring Empat Negara di Hong Kong, kelmarin. FOTO fail NSTP
AN Najwa bersama trofi pemain paling bernilai yang diterima pada Kejohanan Bola Jaring Empat Negara di Hong Kong, kelmarin. FOTO fail NSTP
Azlan Muhammad Zain


PEMAIN negara, An Najwa Azizan menyifatkan kejayaan menjuarai Kejohanan Bola Jaring Empat Negara di Hong Kong, kelmarin menyuntik motivasi mereka untuk mengekalkan emas di Sukan SEA Filipina hujung tahun ini.

Bagaimanapun, tonggak utama negara ketika Sukan SEA 2017 itu menjelaskan masih terdapat ruang untuk diperbaiki bagi memastikan mereka berada pada tahap diharapkan bagi menghadapi temasya dwitahunan itu.

“Permulaan yang bagus pada 2019 bagi mengetahui tahap Malaysia ketika ini. Semua pemain masih dalam proses mendapat kembali rentak kerana sudah lama tidak beraksi dalam saingan kompetitif, kali terakhir enam bulan lalu.

“Secara perlahan cuba mendapat rentak dan masih banyak benda perlu dipertingkatkan,” jelasnya yang turut dinobatkan pemain paling bernilai pada kejohanan yang berlangsung di Pusat Sukan Kowloon Park itu.

Tambahnya, ia turut membolehkan mereka menebus kekecewaan gagal menjuarai kejohanan pada edisi 2017 apabila berada di tempat ketiga.

“Bagi diri sendiri, ia adalah berkenaan maruah selepas tewas dua tahun lalu namun kami kembali dan berjaya merampas kejuaraan,” tambahnya.

Pada edisi 2019, skuad negara melakar kemenangan 57-44 di pentas final selepas menumbangkan tuan rumah untuk menebus kekecewaan tewas pada peringkat awal kepada lawan sama dengan keputusan 31-58.

Skuad kendalian Tracey Robinson itu memulakan aksi dengan menewaskan Gibraltar 61-27 disusuli kejayaan ke atas Thailand 59-30.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mac 2019 @ 8:02 AM