PENGURUS Crystal Palace Roy Hodgson. FOTO Getty Images
PENGURUS Crystal Palace Roy Hodgson. FOTO Getty Images
Agensi

MENURUT bekas pertahanan England Gary Neville, Roy Hodgson berhak diiktiraf sebagai ‘salah seorang daripada jurulatih Inggeris terhebat’.

Namun sepanjang 31 tahun pertama kariernya, pengurus Crystal Palace bagaikan ‘tidak kelihatan’ di negara asalnya.

Satu tugasnya di England adalah di Bristol City, empat bulan tanpa sebarang impak pada 1982 yang berakhir dengan pemergiannya dari kelab itu sebelum mereka tersingkir ke divisyen keempat.

Lima belas tahun kemudian, beliau mencuba nasib di Blackburn Rovers, biarpun pada musim pertamanya agak baik namun perkara sebaliknya berlaku pada musim berikutnya.

Hanya ketika bersama Fulham, beliau berjaya menyelamatkan kelab itu daripada penyingkiran dan membawa mereka ke final Liga Europa, barulah beliau memahat namanya dalam bidang pengurusan bola sepak di Britain.

Semua itu tidak berlaku jika tidak kerana hasil pengalamannya bertugas di Sweden, Switzerland, Itali (dua kali mengendalikan Inter Milan), Denmark, Emiriah Arab Bersatu dan Finland sebelum itu.

Selepas Fulham, beliau pernah mengendalikan Liverpool, West Bromwich Albion, Palace dan tentu sekali, England.

Ada saat yang menggembirakan dan tidak kurang yang menyakitkan.

Hari ini, Hodgson akan menggantikan Sir Bobby Robson sebagai pengendali tertua perlawanan Liga Perdana Inggeris, di mana beliau akan berusia 71 tahun dan 198 hari apabila Palace berkunjung ke Leicester.

Sudah pasti soalan akan terarah kepada berapa lama lagi beliau akan terus menjadi jurulatih.

Hodgson mengekalkan kecergasannya dengan menjalani latihan di gimnasium rumahnya di Richmond, menyenangi suasana lebih tenang berbanding hiruk pikuk muzik di kem latihan Beckenham yang digunakan pasukan utama.

“Saya sentiasa berjanji kepada diri dan isteri bahawa jika saya tidak lagi menikmatinya atau tidak dapat menangani tekanan yang hadir dengan tugas berprofil tinggi, atau tahap tenaga saya mula mengecewakan atau semangat saya semakin hilang, saya tidak akan melanjutkan karier lebih lama daripada sepatutnya,” kata Hodgson.

“Keseronokan, kemampuan dan memiliki tenaga serta semangat adalah faktor penting untuk meneruskan karier dan berharap dapat meneruskannya.”

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Februari 2019 @ 12:39 AM