HODGSON ada kenangan manis bersama Palace.
HODGSON ada kenangan manis bersama Palace.
AFP

LONDON: Roy Hodgson dilantik sebagai pengurus baru Crystal Palace, umum kelab Liga Perdana Inggeris itu awal pagi tadi.

Bekas pengurus England berusia 70 tahun itu menggantikan Frank de Boer apabila jurulatih dari Belanda itu dipecat selepas hanya empat perlawanan mengendalikan kelab selatan London itu.

“Bekas pengurus England, Roy Hodgson dilantik sebagai pengurus baru Crystal Palace FC dengan kontrak dua tahun,” menurut satu kenyataan kelab itu.

Bagi Hodgson, yang lahir di pinggir bandar selatan London, Croydon, menguruskan Palace bermakna beliau kini mengendalikan kelab masa remajanya selepas karier pengurusan selama lima dekad dan 15 kelab di lapan negara selain mengendalikan empat pasukan kebangsaan.

“Kelab ini saya sokong semasa kecil dan saya masih ingat ketika remaja menyaksikan kelab bermain dari tempat duduk penonton di kawasan Holmesdale Road, satu memori yang manis,” katanya.

“Amat bertuah rasanya untuk mendapati saya berada di sini sekarang, dalam zaman berbeza, sebagai pengurus Palace di kelab yang saya sayangi dan kagumi dengan potensi besar.”

De Boer dipecat selepas kekalahan 0-1 di tangan Burnley di gelanggang lawan Ahad lalu bermakna Palace muncul pasukan pertama dalam liga utama England kalah empat perlawanan pertama musim tanpa menjaringkan sebarang gol sejak Preston North End 93 tahun lalu.

Namun Hodgson, pengurus tertua dilantik ke jawatan itu dalam Liga Perdana, menegaskan Eagles boleh bangkit daripada permulaan buruk mereka dan kekal dalam Liga Perdana.

“Anda boleh bermula dengan teruk tapi anda perlu ingat nasib kami hanya akan ditentukan selepas 38 perlawanan bukannya empat.

“Kami perlu bekerja keras untuk kembali ke landasan baik tapi saya tahu sikap saya dikongsi bersama pemain dan tugas saya untuk memberitahu mereka apa yang saya mahukan daripada mereka.”

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 September 2017 @ 9:29 AM