Steven Sim Chee Keong menyampaikan replika cek kecemerlangan sukan kepada atlet skuasy negara, Aira Azman pada majlis 'Annual Individual Funding Ceremony 2019' di Glenmarie Golf and Country Club hari ini. Turut sama Pengerusi Yayasan Kecemerlangan Sukan Malaysia, Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja’afar. FOTO Bernama
Steven Sim Chee Keong menyampaikan replika cek kecemerlangan sukan kepada atlet skuasy negara, Aira Azman pada majlis 'Annual Individual Funding Ceremony 2019' di Glenmarie Golf and Country Club hari ini. Turut sama Pengerusi Yayasan Kecemerlangan Sukan Malaysia, Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja’afar. FOTO Bernama
BERNAMA

KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) akan menubuhkan pusat atlet iaitu platform kepada atlet kebangsaan membuat aduan serta perihal lain dalam aspek akademik dan kerjaya yang terletak di Bukit Jalil.

Timbalan Menterinya Steven Sim berkata, inisiatif itu membantu atlet kebangsaan mendapat saluran yang betul untuk membuat aduan masing-masing yang akan dikendalikan oleh kementerian, Majlis Sukan Negara (MSN) dan wakil atlet yang akan dipilih nanti.

"Kita mahu suara hati mereka didengari, sebelum ini mungkin proses atlet untuk membuat aduan atau berjumpa dengan pihak MSN rumit... jadi pihak kementerian fikirkan jalan mudah untuk membantu atlet secara telus.

"Pusat atlet ini seperti sebuah 'club house' di mana atlet boleh membuat rujukan mengenai masalah masing-masing secara terus tanpa perlu orang tengah," katanya selepas Majlis Penyerahan geran tahunan oleh Yayasan Kecemerlangan Sukan Malaysia (SportExcel) di sini hari ini.

Seramai 35 atlet daripada sembilan jenis sukan menerima geran tahunan pada majlis itu.

Yayasan itu yang dipengerusikan oleh Tan Sri Tunku Imran Tuanku Jaafar menyampaikan geran tahunan berjumlah keseluruhan RM48,000.

Steven berkata, pihak pengurusan pusat atlet itu akan merahsiakan identiti pengadu bagi melindungi atlet yang membuat aduan seperti gangguan seksual dan penyalahgunaan kuasa oleh mana-mana pihak.

"Pusat ini bukan sahaja berfungsi untuk menerima aduan atlet tetapi atlet boleh mendapatkan khidmat nasihat mengenai peluang pendidikan atau kerjaya yang boleh dibantu oleh kementerian," jelasnya.

Steven berkata menteri Syed Saddiq Syed Abdul Rahman telah meluluskan penubuhan pusat atlet itu dan dijangka dilancarkan pada dua bulan lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Februari 2019 @ 10:02 PM