BANGUNAN KBS.
BANGUNAN KBS.
BERNAMA

KUALA LUMPUR: Belanjawan 2019 untuk Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyaksikan peningkatan 25 peratus peruntukan kepada agensi pelaksana seperti Majlis Sukan Negara (MSN), Institut Sukan Negara (ISN) serta Jabatan Belia dan Sukan Negeri.

Timbalan Menterinya, Steven Sim Chee Keong yang mengesahkan bajet kementerian itu yang kekal sekitar RM1 bilion, berkata secara keseluruhannya, belanjawan bagi KBS kali ini lebih menyasarkan perbelanjaan terhadap pelanggannya seperti golongan anak muda, belia, atlet negara dan komuniti.

“Belanjawan kali ini berfokus dan berhemah, lebih tepat kepada dasar-dasar kita, contohnya ada pengurangan lebih kurang 11 peratus dalam perbelanjaan mengurus ibu pejabat KBS, itu penurunan agak besar. Ini bermakna pihak kementerian perlu ada disiplin dari segi urus tadbir kewangan dan tidak belanja tanpa kawalan.

“Tetapi peruntukan untuk MSN dan ISN meningkat. Begitu juga dengan peruntukan kepada belia dan sukan untuk komuniti, yang saya rasa satu berita baik kepada peminat sukan dan bagi komuniti secara amnya... tidak ketinggalan pembangunan E-Sports.

“Apabila kerajaan menyusutkan bajet sendiri dan mengembangkan bajet untuk rakyat, saya rasa itu satu perkembangan atau belanjawan amat positif. Berita baik untuk rakyat,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen selepas pembentangan Belanjawan 2019 di sini, hari ini.

Ketika pembentangan Belanjawan 2019 di Dewan Rakyat, Menteri Kewangan Lim Guan Eng turut mengumumkan peruntukan RM100 juta untuk persediaan atlet ke Sukan Olimpik Tokyo 2020, dengan harapan meraih pingat emas pertama negara.

Guan Eng berkata tambahan RM10 juta diperuntukkan untuk menggalakkan dan pembangunan eSports sebagai aktiviti dan industri yang diminati generasi muda melibatkan jurutera perisian dan pemaju permainan digital.

Steven berkata apa lebih menarik ialah belanjawan kali ini juga dapat merapatkan jurang nisbah perbelanjaan mengurus dan pembangunan KBS daripada 70:30 untuk 2018 kepada 64:36 bagi 2019.

“Dari segi anak muda, akan ada satu peruntukan berjumlah RM70 juta untuk sekolah kepimpinan masa depan, ini bajet baharu. Kemudian kita ada peningkatan bajet bagi memperkasa Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN),” katanya.

Sebagai rekod, RM1 bilion diperuntukkan kepada KBS pada pembentangan belanjawan 2018, manakala masing-masing RM1.2 bilion dan RM930 juta untuk 2017 dan 2016.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 November 2018 @ 9:13 PM