PENYERANG TLHT, Nur Syafiqah Mohd Zain (tengah) cuba dihalang pemain Mutiara Impian pada aksi Liga Hoki Wanita di Stadium Hoki Batu Buruk, petang tadi. FOTO Ihsan TLHT
PENYERANG TLHT, Nur Syafiqah Mohd Zain (tengah) cuba dihalang pemain Mutiara Impian pada aksi Liga Hoki Wanita di Stadium Hoki Batu Buruk, petang tadi. FOTO Ihsan TLHT
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Pasukan Hoki Wanita Terengganu (TLHT) bermula dengan langkah kanan apabila mudah membenam cabaran pasukan Mutiara Impian-MSSPP-PSHA 4-0 pada aksi Liga Hoki Wanita Malaysia (LHWM) di Stadium Hoki Batu Buruk (SHBB), petang tadi.

Skuad kendalian Mohd Shahrun Nabil Abdullah yang kembali mewarnai liga selepas dua tahun tidak menyertainya bagaimanapun terpaksa menanti pada aksi suku kedua selepas pemain skuad lawan lebih banyak 'berkampung' pada aksi suku pertama.

Jaringan pertama skuad Pantai Timur itu diperoleh menerusi pukulan penalti Fazilla Sylvester Silin pada minit ke-22 selepas bekas pemain kebangsaan itu mudah memperdayakan penjaga gol, Nur Syaza Haziqah Hussin untuk pasukannya mendahului 1-0.

Selepas jaringan itu, pemain TLHT kian bersemangat untuk menambah jaringan dan hasilnya selang dua minit, seorang lagi bekas pemain skuad Malaysian Tigress, Nur Atira Mohamad Ismail bijak menyambung hantaran rakan sepasukannya, Juliani Mohamad Din untuk mengukuhkan kedudukan 2-0.

Memasuki aksi suku ketiga, TLHT yang muncul juara berganda Piala Liga dan Piala Vivian Soars pada 2017 dan 2019 berjaya menambah gol ketiga sekali lagi menerusi pukulan sudut penalti Fazilla Sylvester pada minit ke-39.

Pada aksi suku keempat, seorang lagi bekas tonggak kebangsaan, Nur Syafiqah Mohd Zain menambah derita pasukan pelawat apabila berjaya menjaringkan gol keempat pasukannya juga menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-47 sekali gus melengkapkan kemenangan bergaya 4-0 pada aksi pertama itu.

Sepanjang perlawanan, pasukan pelawat yang dibimbing A N Leo Vincey lebih banyak bertahan dan hanya sesekali melancarkan serangan.

Sementara itu Mohd Shahrun Nabil akui pemainnya beraksi mengikut perancangan walaupun aksi pertama pasukannya musim ini.

"Bagaimanapun ada beberapa aspek yang perlu diperkemaskan lagi terutama penyudah kerana mereka baharu bersama dalam pasukan.

"Saya harap aksi kedua nanti menentang pasukan Young Tigress pada Rabu ini juga di tempat sendiri, pemain dapat memperbaiki dan memperkemaskan strategi untuk melakar kemenangan kedua," katanya ketika ditemui selepas berakhir perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Februari 2023 @ 8:05 PM