Penjaga gol utama TLHT, Guzal Bakhavaddin (tengah) ketika beraksi dalam saingan LHWM. FOTO Malik Muhamad
Penjaga gol utama TLHT, Guzal Bakhavaddin (tengah) ketika beraksi dalam saingan LHWM. FOTO Malik Muhamad
Malik Muhamad


SUDAH jatuh ditimpa tangga. Ini peribahasa tepat yang boleh digambarkan kepada kem Pasukan Hoki Wanita Terengganu (TLHT) apabila terpaksa menamatkan baki saingan Liga Hoki Wanita Malaysia (LHWM) tanpa penjaga gol utamanya, Guzal Bakhavaddin.

Pemain kelahiran Kazakhstan itu terpaksa pulang ke negaranya bagi sesi pemilihan mewakili pasukan kebangsaan skuad itu.

Kehilangan penjaga gol tinggi lampai itu sudah pasti dirasai kem skuad TLHT itu yang dibimbing bekas pengendali skuad wanita kebangsaan, Mohd Nasihin Nubli Ibrahim.

"Guzal adalah penjaga gol terbaik, dia adalah salah seorang pemain tonggak TLHT musim ini, bagaimanapun kita tidak dapat gunakan khidmatnya sehingga berakhir musim ini kerana pemain itu terpaksa pulang ke negaranya pada 18 Februari ini.

"Guzal perlu menjalani pemilihan bersama pasukan negaranya, jika dia tak hadir berkemungkinan dia tidak dapat mewakili pasukan kebangsaan negaranya.

"Kehilangannya sudah pasti begitu dirasai kerana dia beraksi cemerlang bersama pasukan, walau bagaimanapun kita ada seorang lagi penjaga gol yang tidak kurang hebatnya iaitu bekas pemain pasukan Sukan Malaysia (Sukma) Terengganu," ujar Nasihin.

Sebelum ini skuad TLHT sah tidak dapat menggunakan khidmat dua pemain import kelahiran Argentina, Agostina Galimberti dari Micaela Andrada Farace kerana pemain itu disambar skuad lain pada saat-saat akhir.

TLHT kini menghuni di tangga kedua liga dengan mengumpul 19 mata hasil lapan perlawanan, dua mata dipisahkan dengan pendahulu, Hockademy dengan baki dua perlawanan lagi.

Saingan bagi merebut Piala Vivian May Soar bakal bermula 19 Februari ini.

Musim lalu TLHT diumumkan juara bersama dengan kelab dari China, Liaoning Infinite Space HC kerana perlawanan tidak dapat dilangsungkan akibat hujan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Februari 2020 @ 12:11 PM