PENJAGA gol Pahang, Remezey Che Ros
PENJAGA gol Pahang, Remezey Che Ros
Asrol Awang


PENJAGA gol kedua Pahang, Remezey Che Ros mengakui tidak boleh bersikap sambil lewa dan perlu sentiasa mengekalkan prestasi jika diberi tanggungjawab menjaga gawang skuad itu pada saat akhir.

Situasi itu dapat disaksikan selepas Helmi Eliza Elias yang juga penjaga gol utama Tok Gajah tidak dapat disenaraikan pada perlawanan dengan Terengganu FC (TFC) yang berkesudahan Pahang menang 3-0, di Kuantan Sabtu lalu.

Remezey berkata, dia sudah melakukan persediaan awal sebaik Helmi mengalami kecederaan dua hari sebelum perlawanan walaupun pada awalnya tidak begitu serius.

"Bagaimanapun, pada hari perlawanan, kecederaan Helmi serius dan skuad ini memberi kepercayaan kepada saya untuk menjaga gawang buat kali pertama dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

"Sebenarnya, perasaan gementar itu biasa dalam bola sepak tetapi dengan pengalaman yang ada, saya berjaya mengawalnya dan dapat beraksi dengan tenang. 

"Saya juga gembira kerana tidak melepaskan gol walaupun lawan melakukan asakan pada babak kedua perlawanan kerana ingin membalas kepercayaan yang diberikan," katanya.

Pada aksi pembuka tirai Liga Super bertemu Kuala Lumpur 1 Februari lalu, Pahang menyenaraikan Helmi selaku penjaga gol yang menyaksikan skuad itu menewaskan The Hawks 3-1. 

Namun, kecederaan lutut kanan yang dialami Helmi memaksa skuad Tok Gajah menyenaraikan Remezey dan tugasan itu berjaya disempurnakan dengan baik. 

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Februari 2019 @ 12:06 PM