ALCACER semakin menyengat bersama Dortmund. FOTO Agensi
ALCACER semakin menyengat bersama Dortmund. FOTO Agensi
AFP

BARCELONA: “Borussia Dortmund mengambil kelebihan untuk perpindahan kekal dengan perjanjian bersama FC Barcelona dicapai Ogos lalu untuk Paco Alcacer,” menurut jurucakap Barca selepas Dortmund membuat pilihan menandatangani penyerang Barcelona itu dengan nilai 23 juta euro (RM107.95 juta) hari ini.

Barca berkata dalam kenyataannya bahawa Dortmund juga akan membayar 5 juta euro (RM23.47 juta) sebagai yuran tambahan buat pemain berusia 25 tahun itu dan mengekalkan lima peratus saham jika dia dijual pada masa depan.

Alcacer menyertai Barcelona dengan nilai 30 juta euro (RM140.81 juta) dari Valencia pada 2016 namun tempoh bermainnya terhad di Camp Nou dan berpindah secara pinjaman ke Dortmund musim panas lalu.

Pemain Sepanyol itu semakin meningkat sejak itu, menjaringkan 16 gol dalam 20 perlawanan buat kelab dan negaranya musim ini sambil membantu Dortmund memperkukuhkan kedudukan di persada Bundesliga dengan enam mata.

 

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Februari 2019 @ 10:29 AM