ALCACER bangga sertai Dortmund. FOTO/AGENSI
ALCACER bangga sertai Dortmund. FOTO/AGENSI
AFP

BERLIN: Penyerang Barcelona, Paco Alcacer berkata dia berbangga beraksi di hadapan tempat duduk penuh ‘magis’ di gelanggang Borussia Dortmund selepas melengkapkan pinjaman bersama kelab Bundesliga itu, semalam.

Pemain Sepanyol berusia 24 tahun itu menandatangani perjanjian selama setahun dengan nilai dilaporkan 2.2 juta euro (RM10.56 juta) dengan pilihan belian 25 juta euro (RM119.96 juta) jika dia berjaya memenuhi kehendak Dortmund di depan gawang.

“Saya tidak sabar untuk bermain dalam saingan Bundesliga,” kata Alcacer dalam satu kenyataan.

“Ini adalah salah satu liga terbaik di dunia dan Borussia Dortmund, dengan peminat yang menakjubkan dan tempat duduk selatan yang amat terkenal, ia sesuatu yang magis untuk semua pemain bola sepak.”

Alcacer menyertai Barcelona dengan nilai 30 juta euro (RM143.95 juta) pada 2016 selepas menjaringkan 43 gol bersama Valencia sambil melakukan 17 umpanan dalam 124 perlawanan.

Begitupun, dia bergelut untuk meletakkan namanya dalam kesebelasan utama Barca yang diisi penyerang Uruguay, Luis Suarez dan bintang Argentina, Lionel Messi.

Sekali pun kekurangan peluang, Alcacer berjaya menjaringkan 15 gol dalam 50 perlawanan selain lapan umpanan gol.

“Kami amat gembira Paco Alcacer memutuskan untuk menyertai Borussia Dortmund dan kami amat percaya yang dia amat sesuai dengan cara permainan kami,” kata Pengarah Dortmund,  Michael Zorc.

Alcacer akan mengisi kekosongan yang ditinggalkan penyerang Belgium, Michy Batshuayi yang kembali ke Chelsea sebelum dipinjamkan semula ke Valencia musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Ogos 2018 @ 9:57 AM