ARUL (dua dari kanan) dirujuk kepada Lembaga Disiplin MHC. FOTO/NSTP
ARUL (dua dari kanan) dirujuk kepada Lembaga Disiplin MHC. FOTO/NSTP
Jugjet Singh


KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Arul Selvaraj dan pemain Nur Insafi, Jiwa Mohan dirujuk kepada Lembaga Disiplin Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) susulan kenyataan dalam media baru-baru ini.

Lembaga Disiplin MHC akan mengadakan sesi pendengaran pada 9 Februari ini berhubung perkara itu dan sekiranya mereka tidak hadir, keputusan akan dilakukan tanpa keterangan kedua-duanya.

Arul dalam kenyataannya di akhbar berbahasa Melayu sebelum ini menyatakan Liga Hoki Malaysia (LHM) mungkin akan ‘tutup kedai’ andai tiada suntikan elemen baharu dan sesuatu perlu dilakukan untuk menghidupkan kembali liga domestik itu.

Dalam artikel itu, Arul turut berkata, beliau sudah mengemukakan cadangan kepada MHC bagaimana untuk memeriahkan kembali saingan liga tetapi tidak mendapat maklum balas daripada badan induk itu.

Beliau juga menyatakan tempoh saingan liga selama tiga bulan singkat dan perlu dipanjangkan kepada lapan bulan seperti di Eropah.

Arul memberitahu saingan Piala Razak sudah tidak relevan dan jika tiada sebarang perubahan, beliau berasakan langkah melantik jurulatih terbaik dunia dan membelanjakan berjuta ringgit tidak akan meletakkan skuad hoki negara ke mana-mana.

Jiwa pula menyatakan penurunan drastik pasukan yang beraksi di LHM sekali gus turut menerima nasib sama seperti Arul.

Ketika Arul hadir pada sesi pendengaran Jawatankuasa Teknikal, Jiwa tidak hadir dengan alasan dia tidak dimaklumkan oleh pengurusnya berhubung sesi pendengaran itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 January 2019 @ 11:51 PM