Arul Selvaraj kena amaran
Arul Selvaraj kena amaran
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Jurulatih Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Arul Selvaraj dikenakan hukuman amaran keras, manakala pemain Nur Insafi, Jiwa Mohan pula gantung tiga perlawanan atas kesalahan mengeluarkan kenyataan dalam media baru-baru ini.

Kedua-dua mereka didapati menggunakan media sebagai saluran untuk mengkritik Liga Hoki Malaysia (MHL) ketika ia sedang berlangsung sekali gus melanggar kod etika kejohanan.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Perundangan MHC, Jadadish Chandra selepas mendengar penjelasan dan hujah oleh kedua-dua individu berkenaan pihaknya memutuskan hukuman lebih berat dikenakan ke atas Jiwa gara-gara kegagalan pemain dari Pulau Pinang itu menghadiri perbicaraan pertama iaitu Sesi Pendengaran Jawatankuasa Teknikal 21 Januari lalu.

Arul mengaku bersalah kerana membuat kenyataan kepada akhbar Berita Harian dan beliau juga mengaku melaporkan pada saluran yang salah. "Mengenai Jiwa pula kita mengenakan hukuman penggantungan tiga perlawanan kerana mendapati beliau mengeluarkan kenyataan kepada media walaupun beliau mengaku tidak bersalah.

Jiwa Mohan digantung tiga perlawanan
Jiwa Mohan digantung tiga perlawanan

"Beliau juga diminta untuk menjelaskan sebab mengapa beliau tidak hadir perbicaraan pertama, namun beliau memberi alasan tidak dimaklumkan oleh pasukannya selain faktor perbicaraan itu dijalankan pada Hari Thaipusam. "Mendengar pada kenyataannya kami menganggap ia sebagai tidak bertanggungjawab dan bermula hari ini penggantungannya bermula," katanya. Ia bermakna Jiwa, 39, akan terlepas aksi menentang Pasukan Hoki Terengganu (THT) diikuti Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan UniKL.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Februari 2019 @ 2:25 PM