Arul Selvaraj. FOTO fail NSTP
Arul Selvaraj. FOTO fail NSTP
Malik Muhamad


KUALA TERENGGANU: Pengendali Kelab Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Arul Selvaraj menjangkakan Liga Hoki Malaysia (TNB-LHM 2019) yang kini semakin suram penyertaan boleh 'tutup kedai' suatu hari nanti andai tiada suntikan elemen baharu yang menggamit minat penyertaan lebih banyak pasukan.

Malah beliau turut meramalkan mungkin liga utama negara itu akan turut hilang seri atau 'sekadar ada'  jika tiada perancangan rapi dilakukan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) bagi merancakkan lagi kemeriahan liga kompetitif itu.

Bekas jurulatih skuad kebangsaan negara itu tanpa berselindung juga bimbang negara akan kekurangan pemain berkualiti suatu hari nanti untuk diserapkan dalam skuad kebangsaan jika MHC terus 'tidur'.

"Pada pandangan saya MHC perlu buat perubahan drastik, daripada mata kasar saya liga kita sekarang semakin menuju kemelesetan pemain yang berkualiti, ini mungkin disebabkan hanya tujuh pasukan saja yang bertanding dalam MHL.

"Selain itu jangka masa bermain dalam liga kita tidak mencukupi iaitu hanya lebih kurang tiga bulan saja selepas itu ke mana pemain ini pergi selain pemain kebangsaan? Bermain waktu petang saja tidak cukup kerana pemain perlu beraksi dalam liga yang kompetitif seperti dalam liga di Eropah.

"Jika tidak ada perubahan segera daripada MHC atau persatuan hoki, saya rasa kita bawa jurulatih terbaik dunia sekalipun dengan belanja berjuta-juta, pasukan hoki kita tidak akan ke mana bahkan tidak mustahil liga hoki kita akan ‘tutup kedai’ jika MHC tidak ada perancangan terbaik mengembangkan bakat dalam saingan kompetitif hoki.

"Justeru saya cadangkan tempoh liga kita perlu dipanjangkan seperti di Eropah selama lapan bulan dan perlu perbanyakkan liga hoki yang kompetitif dan pada saya penganjuran Piala Razak sudah tidak relevan," kata Arul selepas tamat perlawanan Piala Sumbangsih di Stadium Hoki Batu Buruk, petang semalam.

Arul berkata sebelum ini beliau pernah menyuarakan cadangan kepada MHC berhubung perkara itu tetapi dipandang sepi.

"Saya harap selepas tamat liga nanti, MHC dan persatuan negeri serta kelab duduk semeja untuk berbincang mengenai masa depan hoki negara," katanya.

Pandangan bekas pemain kebangsaan itu dilihat ada asasnya terutama apabila hanya tujuh pasukan saja yang beraksi dalam saingan LHM musim ini membabitkan Pasukan Hoki Terengganu (THT), UniKL, Tenaga Nasional Berhad (TNB), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Maybank, TNB Thunderbolts dan pasukan Nurinsafi.

Bagi saingan Liga Hoki Wanita Malaysia pula terpaksa 'menjemput' kelab dari China, Liaoning Infinite Space Hockey Club (LISHC) untuk mencukupkan kuota tujuh pasukan yang antaranya membabitkan Pasukan Hoki Wanita Terengganu (TLHT), Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI), Blue Warriors-PDRM, PKS-UNITEN, KL Wipers dan pasukan Persatuan Hoki Pulau Pinang - Majlis Sukan Sekolah Pulau Pinang (PSHA-MSSPP).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 January 2019 @ 5:28 PM