ARUL belum buat keputusan tawaran kelab Ireland.
ARUL belum buat keputusan tawaran kelab Ireland.
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Tidak lama selepas khidmatnya tidak diperlukan lagi oleh Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), bekas ketua jurulatih skuad hoki lelaki negara, A Arul Selvaraj mendedahkan ada menerima tawaran untuk mengendalikan pasukan kelab di Ireland.

Arul yang sebelum ini sememangnya tinggal di negara itu bersama keluarganya bagaimanapun enggan mendedahkan lebih lanjut berkenaan tawaran itu selain belum membuat sebarang keputusan sama ada mahu menerima atau menolaknya.

"Saya ada terima tawaran menguruskan pasukan kelab di Ireland tetapi saya belum buat keputusan," katanya ketika dihubungi.

Arul berkata, ketika ini beliau lebih fokus untuk mencari ketenangan dan meluangkan masa bersama isteri serta anaknya yang sudah lama ditinggalkan sejak diberi tanggungjawab selaku pengendali Speedy Tigers bermula Ogos 2020.

Jelas Arul, beliau akan sentiasa memberi sokongan kepada pasukan negara tidak kira siapa pun yang mengendalikan Speedy Tigers.

"Saya sentiasa terhutang budi dengan sukan hoki kerana ia adalah periuk nasi saya. Saya sentiasa mendoakan yang terbaik untuk skuad negara tidak kira siapa yang menjadi jurulatih," katanya yang menyaksikan tempatnya digantikan oleh Sarjit Singh.

Arul juga menerima dengan hati terbuka keputusan MHC untuk tidak lagi menggunakan khidmatnya selaku ketua jurulatih kebangsaan selain mengucapkan terima kasih kepada beberapa pihak yang sentiasa menyokongnya.

Sepanjang membimbing skuad negara, Arul memberikan impak besar apabila Speedy Tigers muncul juara Piala Sultan Azlan Shah 2022 selain naib juara Trofi Juara-Juara Asia di Chennai, India, tahun lalu.

Namun Malaysia gagal melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris selepas terlepas pingat emas di Sukan Asia Hangzhou, tahun lalu yang menjanjikan slot automatik ke Paris apabila sekadar mengakhiri saingan di tempat keenam.

Malah, skuad negara juga gagal memanfaatkan 'talian hayat' kedua di pusingan kelayakan di Muscat, Oman apabila mengakhiri saingan di kedudukan kelima, Januari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Mac 2024 @ 2:46 PM