NUNO (kanan) meraikan gol bersama anak buahnya. FOTO/AGENSI
NUNO (kanan) meraikan gol bersama anak buahnya. FOTO/AGENSI
AFP

LONDON: Pengurus Wolves, Nuno Espirito Santo didakwa atas tuduhan salah laku selepas beliau berlari ke tengah padang bagi meraikan gol kemenangan lewat skuadnya ke atas Leicester.

Nuno meraikan kemenangan di Stadium Molineux dengan penuh bersemangat selepas gol pada masa kecederaan Diogo Jota mengesahkan kemenangan 4-3 Wolves ke atas Leicester pada aksi Liga Perdana, Sabtu lalu.

Beberapa pemain turut menyertainya selepas itu sebelum mereka diarahkan keluar oleh pengadil, Chris Kavanagh.

Nuno diberi masa hingga Khamis ini bagi menjawab pertuduhan Persatuan Bolasepak Inggeris dan berdepan kemungkinan hukuman penggantungan berikutan pelanggaran salah laku.

Pengurus Liverpool, Juergen Klopp didenda £8,000 (RM42,000) selepas didapati bersalah menceroboh padang untuk memeluk penjaga gol Alisson Becker berikutan kemenangan lewat ke atas Everton di Anfield, bulan lalu.

Bercakap selepas perlawanan, Nuno berkata: “Ia bukannya berniat jahat dan ia juga bukan bermakna saya tidak menghormati. Ia pernah berlaku sebelum ini terhadap pengurus lain dan ketika itu sukar untuk membendung emosi.

“Peraturannya jelas. Pengadil sudah menjelaskannya kepada saya dan ia keputusan yang bagus. Beliau memberitahu saya tidak dibenarkan untuk keluar daripada kawasan teknikal.”

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 January 2019 @ 8:46 AM