NUNO ESPIRITO
NUNO ESPIRITO
Agensi

LONDON: Pengurus Wolves, Nuno Espirito mengakui keputusan pengadil adalah tepat apabila mengarahkannya keluar padang selepas meraikan jaringan kemenangan dramatik pasukannya ke atas Leicester, malam tadi.

Pengurus dari Portugal itu tidak mampu mengawal kegembiraannya selepas Diogo Jota melengkapkan hatriknya di masa kecederaan untuk menghadiahkan Wolves kemenangan 4-3.

Selepas melihat barisan pemainnya mendahului 2-0 hasil sumbangan gol Jota dan Ryan Bennett, dia kemudiannya terpaksa akur apabila Demarai Gray dan jaringan sendiri Conor Coady membolehkan The Foxes menyamakan semula kedudukan.

Jota kemudiannya sekali lagi meledak gol sebelum Wes Morgan mengikat jaringan. Dan ketika perlawanan seakan berakhir dengan keputusan seri, Jota muncul wira untuk Nuno berlari masuk ke padang meraikan jaringan berkenaan.

Beliau kemudiannya dilayangkan kad merah, namun berkata: “Ia adalah peraturan, tetapi saya langsung tidak mempunyai niat buruk, itu bukan (bermakna) tidak menghormati.

“Pengadil menjelaskan kepada saya, ia amat jelas dan keputusan yang tepat. Dia memberitahu bahawa saya tidak boleh keluar daripada kawasan teknikal.”

Jota kini sudah menyumbat lima gol dalam enam penampilan terakhir.

Dia juga muncul selaku pemain pertama Wolves meledak hatrik dalam liga utama sejak John Richards pada 1977 – dalam kemenangan 3-0 ke atas Leicester.

Tambah Nuno: “Diogo beraksi baik, dia mengesahkan semula kepulangannya. Sebelum ini dia mengalami kecederaan, dan kini dia kembali menemui sentuhan terbaiknya.”  

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 January 2019 @ 1:59 PM