SANTO mengikat kontrak dua tahun bersama Spurs. FOTO AFP
SANTO mengikat kontrak dua tahun bersama Spurs. FOTO AFP
AFP

London: Tottenham mengumumkan perlantikan bekas bos Wolves, Nuno Espirito Santo sebagai pengurus baru sekali gus mengakhiri pencarian calon untuk menggantikan tempat Jose Mourinho.

Spurs tidak mempunyai bos sejak Mourinho di pecat pada April dengan bekas pemain Ryan Mason mengambil alih baki musim lalu.

Nuno, 47, menandatangani kontrak dua tahun bersama kelab utara London itu selepas Mauricio Pochettino, Antonio Conte, Paulo Fonseca and Gennaro Gattuso dikaitkan dengan tugas itu.

Jurulatih Portugal itu akan memulakan latihan pra-musim pada Isnin ini yang mana pemain yang tidak terbabit dengan aksi antarabangsa ketika ini akan kembali ke Hotspur Way.

"Apabila anda mempunyai skuad yang memiliki kualiti dan bakat, kami mahu membuatkan peminat bangga dan menikmatinya," katanya.

"Ia satu yang menggembirakan dan berbangga (berada di sini), ada keseronokan dan saya gembira serta tidak sabar memulakan kerja.

"Tiada hari untuk kami kalah dan semua mesti memulakan tugas pra-musim dengan segera dalam beberapa hari lagi."

Nuno berjaya membawa Wolves dari Liga Kejuaraan ke saingan Liga Perdana pada 2018 dan membawa pasukan itu menamatkan saingan di tempat ketujuh untuk dua musim berturut-turut dalam saingan utama sebelum menamatkan saingan di kedudukan ke-13 musim lalu.

"Pertama sekali saya mengucapkan selamat datang Nuno ke kelab. Kami juga turut berterima kasih kepada penyokong kerana kesabaran mereka sepanjang proses ini," kata ketua Spurs, Daniel Levy.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Julai 2021 @ 6:27 AM