SANTO ganti Cooper yang dipecat Forest.
SANTO ganti Cooper yang dipecat Forest.
Reuters

London: Nottingham Forest melantik Nuno Espirito Santo sebagai pengurus baharu mereka bagi menggantikan Steve Cooper, umum kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu hari ini.

Forest melantik bekas pengurus Wolverhampton Wanderers dan Tottenham Hotspur itu selepas memecat Cooper susulan kekalahan kelima dalam enam perlawanan menyaksikan mereka jatuh di tangga ke-17 dalam carta, lima mata di atas zon penyingkiran.

"Nuno menyertai kelab dengan kontrak dua setengah tahun dan akan mula bertugas ketika Forest menentang Bournemouth di tempat sendiri," menurut kenyataan kelab.

"Ketua jurulatih baharu akan mengendalikan sesi latihan pertama pagi ini bagi mempersiapkan pasukan menghadapi perlawanan itu."

Pengurus dari Portugal itu mengendalikan Wolves empat tahun dan membantu mereka kembali ke EPL pada musim pertamanya di sana.

Bekas pemain dan pengurus Porto itu kemudiannya menyertai Spurs pada Jun 2021 dan bermula cemerlang apabila menang tiga perlawanan pertamanya tetapi tewas lima kali dalam tujuh aksi selepas itu sekali gus digantikan Antonio Conte.

Nuno kemudiannya dilantik pengurus kelab Arab Saudi Al-Ittihad dan membawa kelab itu menjuarai liga pertama mereka dalam tempoh 14 tahun tetapi dipecat pada November selepas tanpa kemenangan dalam lima perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Disember 2023 @ 6:41 PM