KANE masih kemarau gol dalam aksi Liga Perdana.
KANE masih kemarau gol dalam aksi Liga Perdana.
AFP

London: Pengurus Tottenham, Nuno Espirito Santo percaya prestasi hambar Harry Kane setakat ini akibat kurang kerjasama dalam pasukan.

Kane belum lagi menjaringkan sebarang gol di Liga Perdana musim ini dengan laporan mendakwa penyerang itu masih dihantui kegagalannya untuk berpindah ke Manchester City.

Kapten England itu hadir lewat ke kem latihan pra musim dan terlepas aksi pembukaan menentang City sebelum menyerah kalah dalam usahanya menyertai skuad Pep Guardiola.

Kane tidak seperti pemain yang memenangi Kasut Emas Liga Perdana musim lalu. Dia masih gagal meledak jaringan dalam empat aksi Liga Perdana dan mengharungi 90 minit tanpa sebarang percubaan tepat di Crystal Palace pada 11 September.

Gol tunggal pemain berusia 28 tahun itu setakat ini ialah ketika menentang kelab kerdil, Pacos Ferreira dalam saingan Liga Konferensi Europa.

Tetapi Nuno mengakui Kane tidak mendapat bantuan daripada Tottenham yang kurang menyengat ketika melakukan serangan.

"Realitinya kami tidak mampu membina situasi yang cukup, itu masalah kami,'' kata Nuno.

"Kesemua situasi individu yang berlaku kepada pemain, sentuhan, tindakan adalah produk pasukan. Pada masa sama kami perlu analisa dan lihat masalah di bahagian pertahanan. Ia berkaitan dengan pasukan dan fokus utama kami mesti selalunya dengan pasukan.''

Selepas menang tiga aksi pertama, Tottenham tewas dua kali berturut-turut dengan jaringan 3-0 termasuk tewas kepada Chelsea pada Ahad lalu.

Nuno percaya hanya dengan kerja keras mampu meletakkan mereka ke landasan kemenangan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 September 2021 @ 2:45 PM