SANTO jelas sekali tidak gembira dengan keputusan VAR yang menghalang pasukannya memperoleh gol. FOTO AFP
SANTO jelas sekali tidak gembira dengan keputusan VAR yang menghalang pasukannya memperoleh gol. FOTO AFP
AFP

NUNO Espirito Santo mendakwa bola sepak dalam bahaya dengan dikawal oleh robot selepas Wolverhampton Wanderers dinafikan dengan keputusan kontroversi Video Bantuan Pengadil (VAR) dan pemain Leiceister City, Hamza Choudhury pula diperintah keluar padang tatkala kedua-dua pasukan seri 0-0 di Molineux awal pagi semalam.

Pasukan bimbingan Santo merasakan mereka mendahului perlawanan melalui tandukan Willy Boly pada separuh masa pertama namun keputusan VAR menafikan gol berkenaan apabila Diogo Jota dikesan ofsaid.

Selepas berang dengan keputusan berkenaan pengadil seakan menyebelahi mereka semula apabila menolak rayuan Leicester untuk mendapatkan sepakan penalti dan Choudhury pula dibuang padang kerana menerima kad kuning kedua.

Bagaimanapun, Santo tetap tidak berpuas hati selepas perlawanan tamat terutama mengenai keputusan VAR dan juga tempoh yang lama untuk menunggu keputusan.

“Ia sekarang memang menjadi realiti namun setiap masa berlaku pasti mengecewakan anda. Apabila anda melihat gambar, ia memang tidak menampakkan gambaran jelas namun peraturan tetap peraturan.

“Pengadil mengatakan ia ofsaid. Kami harus menyesuaikan diri dan harap ia dipertingkatkan. Mereka harus mempertingkatkan, ia sangat jelas.

“Sesuatu perlu dilakukan. Biar mereka yang faham melakukan sesuatu untuk merasai nikmatnya. Kita sekarang ini dalam bahaya untuk menjadi robot,” kata Santo.

Leicester kekal di tangga ketiga Liga Perdana Inggeris (EPL) satu mata di belakang pasukan tempat kedua, Manchester City.

Pengurusnya, Brendan Rodgers gembira dengan pencapaian tidak bolos buat kali kedua dalam 11 perlawanan.

“Berjaya tidak bolos adalah sangat menggembirakan. Saya tidak rasa kad kuning pertama kepada Hamza adalah keputusan tepat.

“Mengenai VAR pula sekarang ini memang seperti itu walaupun bahagian yang ofsaid adalah ibu jari kaki. Merka akan merasa ia sangat kejam,” katanya mengenai keputusan VAR.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Februari 2020 @ 2:24 PM