Viktor Axelsen berazam memperagakan aksi terbaik. FOTO NSTP.
Viktor Axelsen berazam memperagakan aksi terbaik. FOTO NSTP.
Fabian Peter

 

KUALA LUMPUR: Bekas pemain nombor satu dunia, Viktor Axelsen dari Denmark mahu melupakan kekecewaan musim lalu dan bersemangat untuk mempertahankan kejuaraan Masters Malaysia yang akan berlangsung minggu ini.

Selepas bergelut dengan masalah kecederaan dan kesihatan tahun lalu, pemain berusia 25 tahun itu berkobar-kobar untuk memperagakan aksi tahap tertinggi terutama selepas beraksi di Liga Badminton Perdana (BPL) di India baru-baru ini.

Dia yang baru saja menjalani latihan dalam tempoh singkat di Akademi Badminton Sports Affairs di bawah bekas jurulatih negara, Rashid Sidek, berharap mampu bermula dengan langkah kanan untuk musim baharu.

"Sudah lama saya tidak beraksi dalam banyak perlawanan, jadi saya menjangkakan saya boleh turun dan bermain dengan lebih baik.

"Saya bergelut pada 2018 namun sekarang saya harus terus pandang ke depan. Paling penting latihan saya sebelum ini berjalan lancar jadi saya bersedia untuk memberikan aksi terbaik di dalam kejohanan.

"Saya rasa beraksi di BPL adalah peluang terbaik buat saya untuk menyesuaikan diri dengan kejohanan lebih tinggi.

"Ia juga sangat menyeronokkan apabila diberi peluang oleh Sports Affairs. Ini kerana saya berpeluang untuk hadir ke sini lebih awal dari India dan berlatih dengan pemain seperti (Liew) Daren dan Iskandar (Zulkarnain Zainuddin). 

“Mereka juga akan mendapat peluang yang sama jika datang ke Denmark," kata Axelsen yang akan memulakan misi mempertahankan kejuaraan di Arena Axiata menentang Kazumasa Sakai dari Jepun Rabu ini.

Ditanya mengenai peluangnya mempertahankan kejuaraan diraih tahun lalu, pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Rio itu berharap mampu memperagakan aksi berkelas dunia.

"Saya juga harus memikirkan mengenai bagaimana saya mempersiapkan diri sepanjang tempoh enam bulan ini. Bagaimanapun, masuk minggu kelapan dan kesembilan semunya sudah berjalan lancar.

"Saya juga tidak banyak merujuk kepada undian di kejohanan ini tapi saya tahu akan berdepan Sakai Rabu ini. Ia bakal berlangsung sengit dan saya pernah bergurau mengenai beraksi dalam semua kejohanan di Jepun tahun ini, kerana pemain mereka terlalu ramai. 

“Saya juga tahu anda semua akan bosan mengenai jawapan saya ini, iaitu saya akan fokus satu demi satu perlawanan terlebih dulu," katanya.

Dalam pada itu, Axelsen, juga sempat berkongsi mengenai perbalahan antara Persatuan Badminton Denmark dengan pemain.

"Saya sempat mengikutinya menerusi Facebook apabila tiba di sini dan ia memang sangat mengecewakan kerana persatuan tidak mahu berbincang dengan pemain buat masa sekarang. Semua pemain pula bersatu. Kami mahu berbincang tapi mereka tidak mahu melayan. 

“Mereka juga memberikan tarikh akhir sehingga 25 Januari sebagai jalan penyelesaian atau kami akan angkat kaki. Kami mahu mendapat jalan penyelesaian yang adil kepada semua," katanya.

Selepas mencapai persetujuan dalam pelbagai isu termasuk penajaan dan subsidi pada 2013, kedua-dua pihak sedang berbincang mengenai perjanjian baharu namun setakat ini belum mencapai kata sepakat.

Selain Axelsen, pemain lain dari Denmark yang akan mengambil bahagian dalam perseorangan lelaki dalam Masters Malaysia ialah Anders Antonsen, Rasmus Gemke, Jan Jorgensen dan Hans Kristian Solberg Vittinghus.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 January 2019 @ 5:40 PM