SYAFIQAH tekad membantu pasukannya buru kejuaraan berganda musim ini. FOTO MALIK MUHAMAD
SYAFIQAH tekad membantu pasukannya buru kejuaraan berganda musim ini. FOTO MALIK MUHAMAD
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Impian untuk membantu Pasukan Hoki Wanita Terengganu (TLHT) mencipta hatrik merangkul gelaran berganda dalam saingan Liga Hoki Wanita Malaysia (LHWM) mendorong bekas penyerang kebangsaan, Nur Syafiqah Mohd Zain menolak tawaran daripada pasukan lain musim ini.

Jelas bekas murid Sekolah Kebangsaan Desa Pandan, Kuala Lumpur itu, walaupun berjauhan dengan keluarganya di ibu kota, namun penyerang lincah itu sudah 'jatuh hati' dengan skuad kendalian bekas kapten kebangsaan, Mohd Shahrun Nabil Abdullah.

"Saya ada menerima beberapa tawaran daripada pasukan lain dalam saingan pada musim ini, tapi saya terpaksa menolaknya secara baik kerana mahu menyarung jersi pasukan dari Terengganu itu selepas empat musim bersama sebelum ini iaitu pada 2017, 2018, 2019 dan 2020.

"Selain gembira beraksi bersama pasukan Pantai Timur itu, impian saya untuk membantu pasukan ini melakar juara berganda Piala Liga Wanita dan Piala Vivian Soars sebanyak tiga kali selepas merangkulnya pada musim 2017 dan 2019.

"Saya berkeyakinan dengan kehadiran lima bekas tonggak kebangsaan dan dua pemain yang kini masih bersama pasukan negara mampu menambah lagi kekuatan pasukan selain ramai pemain muda berbakat dalam skuad kendalian Mohd Shahrun Nabil," katanya ketika ditemui.

Selain bekas pemain PDRM dan Sabah musim 2021 dan 2022 itu, empat lagi bekas tonggak skuad Malaysian Tigress yang menyarung jersi TLHT termasuk Fazilla Sylvester Silin, Mas Huzaimah Md Aziz, Surizan Awang Noh, Ellya Amanina Ellias dan Nur Atira Mohamad Ismail manakala dua pemain yang masih bersama skuad kebangsaan ialah Juliana Mohamad Din dan Wan Norfaiezah Md Saiuti.

Ketika ditanya persiapan pasukannya berdepan dengan kelab Mutiara Impian - MSSPP- PSHA dalam aksi pertama di Stadium Hoki Batu Buruk (SHBB), petang esok, pemain berusia 28 tahun itu akui berada pada tahap terbaik.

"Kita mahu tiga mata pertama dalam aksi sulung pada musim ini, kelebihan beraksi di tempat sendiri akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk melakar kemenangan.

"Sentuhan bekas kapten kebangsaan dan juga bekas pemain Pasukan Hoki Terengganu (THT) sebagai ketua jurulatih juga bakal menyemarakkan lagi semangat kami untuk menamatkan aksi pertama dengan noktah kegembiraan," katanya yang mula beraksi mewakili sekolahnya pada usia lapan tahun lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Februari 2023 @ 1:09 PM