RONALDO  dijangka kembali disenaraikan dalam kesebelasan utama Juventus. FOTO/AFP
RONALDO dijangka kembali disenaraikan dalam kesebelasan utama Juventus. FOTO/AFP
AFP

MILAN: Cristiano Ronaldo kini bersedia untuk membuat penampilan pertama dalam saingan Piala Itali, apabila Juventus turun menentang Bologna dalam aksi pusingan 16 terbaik, malam esok.

Ronaldo dijangka kembali disenaraikan dalam kesebelasan utama Juventus selepas dia diketepikan ketika menjaringkan dua gol menentang Sampdoria, sebelum rehat musim sejuk.

Jaringan itu menyaksikan dia kini mendahului senarai penjaring terbanyak Serie A dengan 14 gol.

Penyerang antarabangsa Portugal berusia 33 tahun itu turut menjaringkan satu gol buat Juventus dalam saingan Liga Juara-Juara, musim ini.

Dia kini memburu gol pertama dalam aksi Piala Itali - sehari selepas Polis Las Vegas mengarahkannya menyerahkan sampel DNA, sebagai sebahagian daripada siasatan kes merogol seorang wanita Amerika Syarikat, namun dia menafikan tuduhan.

Rakan gandingan Ronaldo di bahagian serangan - Mario Mandzukic, yang menjaringkan sembilan gol musim ini terpaksa diketepikan kerana kecederaan betis, dan kemungkinan besar tidak dapat beraksi dalam perlawanan Piala Super Itali minggu depan.

Saingan liga di Itali masih berehat musim sejuk, tetapi Juventus dan AC Milan akan turun memanaskan badan sebelum kedua-dua pasukan membuat perhitungan dalam aksi final Piala Super di Arab Saudi.

Pemain tengah Juventus, Rodrigo Bentancur memberi amaran betapa aksi di Jeddah sangat penting yang mana mereka mahu menjulang trofi pertama musim ini.

"Kami fokus berdepan Bologna, tetapi selepas itu kami perlu bersedia untuk perlawanan menentang AC Milan dan Piala Super. 

"Ini adalah sasaran pertama yang kami perlu capai musim ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 January 2019 @ 11:37 PM