PEMAIN pasukan bola sepak Selangor melakukan sesi latihan di padang Stadium Mini 3K Subang Jaya. FOTO Zulfadhl Zulkifli
PEMAIN pasukan bola sepak Selangor melakukan sesi latihan di padang Stadium Mini 3K Subang Jaya. FOTO Zulfadhl Zulkifli
Syafiq Aznan


SUBANG JAYA: Pemburuan import kelima Selangor bagi mengharungi musim 2019 berakhir selepas mereka berjaya memancing seorang pertahanan yang beraksi di Liga Australia (Liga A).

Perkembangan itu diumumkan jurulatih skuad The Red Giants, B Sathianathan ketika ditemui pada sesi latihan di Stadium Mini 3K, Subang Jaya, hari ini.

Bagaimanapun, Sathianathan enggan mendedahkan profil dan latar belakang pemain itu memandangkan dia masih lagi terikat dengan kontrak bersama pasukannya ketika ini.

“Pasukan Selangor kini sudah lengkap apabila kita hampir mendapatkan pemain import kelima dari Liga A yang akan beraksi di bahagian pertahanan.

“Saya tidak mahu dedahkan siapa pemain itu tetapi dia akan menandatangani kontrak esok sebelum menyertai pasukan, Khamis ini,” kata bekas pengendali FELDA United itu.

Skuad Merah Kuning ketika ini sudah memiliki empat pemain import dengan kejayaan terbesar The Red Giants adalah mengekalkan penyerang prolifik mereka, Rufino Segovia.

The Red Giants turut menyambar pemain kelahiran Brazil yang sebelum ini beraksi bersama FELCRA FC, Endrick dos Santos dan bekas pemain Queen Park Rangers (QPR), Antonio German.

Bagi mengisi kuota pemain import ASEAN, mereka mendapatkan khidmat pemain Vietnam, Michal Nguyen yang sebelum ini beraksi bersama Air Force Central di Thailand.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 January 2019 @ 6:49 PM