RUFINO (kiri) mungkin berpeluang meraih satu trofi bersama Selangor pada saingan Piala Malaysia bulan hadapan. FOTO/FAIL
RUFINO (kiri) mungkin berpeluang meraih satu trofi bersama Selangor pada saingan Piala Malaysia bulan hadapan. FOTO/FAIL
Syafiq Aznan


JIKA Liverpool memiliki Mohamed Salah pada musim ini, Selangor pula memiliki Rufino Segovia.

Terdapat persamaan besar membabitkan dua pemain itu khususnya jumlah jaringan gol disumbangkan mereka dalam saingan liga pada tahun ini.

Salah merangkul Anugerah Kasut Emas bagi musim 2017/18 selepas bintang kelahiran Mesir itu meledak 32 gol dalam saingan liga sementara Rufino kini mendahului senarai penjaring terbanyak saingan Liga Super pada musim ini.

Persamaan jelas antara dua pemain itu adalah mereka melakar rekod jaringan menakjubkan namun gagal membantu pasukan masing-masing meraih sebarang trofi musim ini.

Salah membawa Liverpool ke final Liga Juara Juara namun tumbang 3-1 di tangan Real Madrid di pentas akhir sementara Rufino membantu The Red Giants mara ke final Piala FA tetapi terpaksa akur tewas 2-0 di tangan Pahang.

Namun, Rufino dilihat lebih bernasib baik apabila masih ada satu lagi trofi boleh disasarkan iaitu Piala Malaysia yang akan mula membuka saingannya, bulan hadapan.

Dengan jumlah 18 jaringan gol setakat ini dan berbaki dua perlawanan, bekas penyerang Atletico Madrid itu hampir sah memenangi Anugerah Kasut Emas apabila berkelebihan empat gol di hadapan pencabar terdekat, Tchetche Kipre yang menjaringkan 14 gol namun hanya memiliki satu lagi perlawanan.

Bagaimanapun, penyerang yang mula menyertai skuad Merah Kuning pada pertengahan musim lalu itu nyata merendah diri sambil menegaskan keutamaannya adalah untuk kemenangan berpasukan.

“Kami masih ada dua perlawanan lagi dan sudah tentu kami mahu memenanginya. Jika gelaran penjaring terbanyak menjadi milik saya, pasti saya gembira namun ia juga adalah hasil kerja keras dari rakan sepasukan.

“Tiada rahsia mengenai rekod memberangsangkan ini. Apa yang saya lakukan adalah keinginan untuk meningkatkan persembahan dan juga saya adalah pemain yang bercita-cita tinggi,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sekiranya Anugerah Kasut Emas menjadi milik Rufino, dia bakal ‘menyapu’ dua anugerah peribadi selepas turut muncul selaku penjaring terbanyak Piala FA dengan 9 gol.

 

Senarai penjaring terbanyak Liga Super

18 gol - Rufino Segovia (Selangor)

14 gol - Tchetche Kipre (Terengganu)

13 gol - Guilherme de Paula (Kuala Lumpur)

12 gol - Yahor Zubovich (Melaka United)

10 gol - Gilmar (Perak)

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Julai 2018 @ 1:59 PM