LAUDA
LAUDA
Agensi

London: Legenda Formula Satu (F1) Niki Lauda berkata, kedua-dua pemandu Red Bull yang terbabit dalam kemalangan ketika Grand Prix Azerbaijan Ahad lalu perlu membayar kos kerosakan jentera pasukan mereka.

Daniel Ricciardo dan rakan sepasukan Max Verstappen bertembung sesama sendiri di pusingan ke-40 perlumbaan, selepas Ricciardo cuba memintas dan dihalang Verstappen.

Lauda, juara dunia tiga kali dari Austria itu berpendapat, kedua-dua pemandu bersalah dalam insiden yang mengakibatkan kerosakan mencecah AS$1 juta (RM3.93 juta) dengan Verstappen dilihat sebagai punca kemalangan.

“Apa yang saya akan lakukan? Saya akan bawa mereka ke pejabat saya dan paksa mereka tanggung kos baik pulih,” kata Lauda.

“Pendapat saya Verstappen 70 peratus bersalah, Ricciardo 30 peratus. Anda tidak boleh melakukan seperti itu di laluan lurus. Tiada ruang buatnya (Ricciardo).”

Bagaimanapun bos Red Bull, Christian Horner mendakwa kos membabitkan wang adalah perkara kedua, yang penting baginya adalah kedua-dua pemandu sedar kesilapan mereka di atas litar.

“Niki lebih banyak memikirkan tentang aspek kewangan berbanding kami di paddock,” kata Horner. “Bagi kami apa yang penting buat Daniel dan Max ialah menyedari tindakan mereka itu tidak masuk akal.”

Horner mengarahkan Ricciardo dan Verstappen pulang ke ibu pejabat Red Bull di United Kingdom bagi memohon maaf secara peribadi kepada 800 kakitangan pasukan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Mei 2018 @ 10:13 AM