PAUL POGBA
PAUL POGBA
AFP

LONDON: Pemain tengah Manchester United, Paul Pogba memadam gambar kontroversi memaparkan dia tersenyum yang dimuat naik di laman sosial selepas pengurus, Jose Mourinho dipecat, semalam.

Mourinho dipecat selepas United berdepan permulaan terburuk dalam saingan Liga Perdana Inggeris dalam tempoh 28 tahun dengan mereka kini ketinggalan 19 mata di belakang pendahulu, Liverpool.

Penyingkiran Mourinho turut dikaitkan susulan hubungan tegangnya dengan Pogba yang sekadar memanaskan bangku simpanan ketika United tewas 1-3 di tangan Liverpool, Ahad lalu.

Pogba memuat naik gambarnya tersenyum di Instagram selepas berita mengenai pemecatan Mourinho dengan keterangan “caption this.”

Pemain tengah Perancis berusia 25 tahun itu dikatakan meraikan penyingkiran Mourinho tetapi tindakannya itu mendapat kritikan daripada legenda United, Gary Neville.

Neville di Twitter miliknya mencadangkan Pogba turut meninggalkan United.

Lebih 64,000 orang menyukai mesej sinis Pogba itu tetapi dia memadam gambar itu 10 minit kemudian dan mendakwa ia sebahagian daripada kempen pemasaran untuk Adidas.

Pogba menyertai United dengan rekod perpindahan termahal £89 juta (RM472 juta) selepas Mourinho dilantik sebagai pengurus pada 2016.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Disember 2018 @ 10:04 AM