POGBA membantu Manchester United menewaskan Spurs 3-1 minggu lalu. FOTO Agensi
POGBA membantu Manchester United menewaskan Spurs 3-1 minggu lalu. FOTO Agensi
Agensi

London: Pengendali Tottenham Jose Mourinho berkata, beliau 'tidak peduli' mengenai kritikan yang dilemparkan pemain tengah Manchester United, Paul Pogba terhadap pengurusannya.

Pogba berkata bos Manchester United yang baru, Ole Gunnar Solskjaer "tidak akan menentang pemain" seperti bekas pengurus Jose Mourinho.

Pogba kembali menyertai United pada 2016 dengan nilai perpindahan £89 juta (RM508 juta) ketika Mourinho masih menjadi pengurus di Old Trafford.

Namun hubungan kedua-dua mereka itu tegang ketika Mourinho di pecat pada Disember 2018.

"Ole berbeza. Beliau tidak akan menentang pemain.

"Mungkin Ole tidak memilih mereka tapi dia tidak terus membuang mereka seperti mereka tidak wujud. Itulah perbezaan antara Mourinho dan Ole.

"Dulu saya pernah mempunyai hubungan baik dengan Mourinho. Semua orang tahu mengenainya dan esoknya anda tidak tahu apa yang terjadi," kata Pogba.

Pemain antarabangsa Perancis berusia 28 tahun itu berkata: "Itu perkara aneh yang terjadi antara saya dan Mourinho dan saya tidak boleh jelaskan kerana saya tidak tahu."

Menjawab komen Pogba selepas Spurs melakar keputusan seri 2-2 dengan Everton, Mourinho berkata: "Saya ingin mengatakan bahawa saya tidak peduli dengan apa yang dia katakan.

"Saya tidak berminat sama sekali."

Pogba membantu United memenangi Piala Liga pada 2017 ketika di bawah pimpinan Mourinho namun dilucutkan jawatan sebagai penolong ketua pasukan oleh pengendali Portugal itu pada September 2018.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 April 2021 @ 8:32 AM