RIO Ferdinand. FOTO EPA
RIO Ferdinand. FOTO EPA
Agensi

BEKAS pertahanan Manchester United, Rio Ferdinand mencabar Jose Mourinho untuk ‘mengembalikan’ Paul Pogba ke prestasi terbaik selepas bintang bintang Perancis itu membantu negaranya menjulang Piala Dunia.

Pogba menikmati kempen yang hebat tatkala Les Bleus menyambar gelaran dunia kedua hasil kejayaan menewaskan Croatia 4-2 di Moscow, awal pagi tadi.

Perancang tengah berusia 25 tahun itu, yang meledak gol dalam aksi final, menghadapi masalah prestasi yang tidak konsisten sejak di Old Trafford dua tahun lalu daripada Juventus.

Ferdinand percaya kini segala-galanya terpulang kepada Mourinho untuk menterjemahkan prestasi terbaik Pogba ke peringkat kelab.

"Pogba begitu hebat, terutama di separuh kedua. Ketika tekanan semakin tinggi dia muncul ke depan bagi memainkan peranan berkesan," katanya kepada BBC One.

"Kini terpulang kepada Jose untuk menterjemahkan prestasi baik Pogba di Piala Dunia."

Pada musim lalu Pogba beberapa kali kelihatan gagal menampilkan prestasi yang mampu memikat Mourinho, sekali gus mencetuskan spekulasi mengenai penghijrahannya dari old Trafford.

Bintang Perancis itu hanya menyumbat enam gol buat United yang menamatkan aksi Liga Perdana Inggeris di kedudukan kedua.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Julai 2018 @ 9:11 PM