PETIKAN siaran kemalangan ketika perlumbaan pusingan terakhir Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS.
PETIKAN siaran kemalangan ketika perlumbaan pusingan terakhir Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS.
Saiful Affendy Sapran


PERSATUAN Automobil Malaysia (AAM) akan menubuhkan jawatankuasa siasatan untuk menyiasat insiden yang meragut nyawa pelumba kelas CP150, Mohd Hafiz Nor Azman pada pusingan terakhir Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Bandar Penawar, Johor, hari ini.

Pengerusi AAM, Tunku Datuk Mudzaffar Tunku Mustapha menerusi satu kenyataan berkata, jawatankuasa itu akan ditubuhkan selepas pihaknya menerima semua dokumen berkaitan membabitkan insiden pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha CKJ Racing itu.

"Litar itu sudah diperiksa Inspektor Rasmi Sirkit AAM pada Jumaat, 14 Disember 2018 bagi memastikan kesemua ciri-ciri keselamatan dan penghadang berada di kedudukan sepatutnya untuk perlumbaan.

"Satu jawatankuasa siasatan akan ditubuhkan dalam tempoh beberapa hari ini selepas menerima kesemua dokumen berkaitan untuk menyiasat insiden itu.

"Kami ingin menyampaikan ucapan takziah yang tidak terhingga kepada seluruh keluarga dan rakan-rakan Mohd Hafiz Nor Azman," katanya.

Ini adalah insiden kemalangan jiwa kedua membabitkan pelumba cub prix dalam tempoh dua tahun selepas pelumba kelas CP150, Norizman Ismail meninggal dunia pada sesi ujian masa di Bandar Baru Kijal, Kemaman, Terengganu, Mei tahun lalu.

Pelumba pasukan ONEXOX TKKR Racing itu disahkan meninggal dunia selepas terjatuh ke penghadang tepi litar sebelum dirempuh jenteranya sendiri.

Berita berkaitan:

  • Pelumba Cub Prix maut [METROTV]
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Disember 2018 @ 10:15 PM