Shaarani Ismail


KELUARGA Allahyarham Mohd Hafiz Nor Azman, 22, pelumba Cub Prix yang meninggal dunia dalam kemalangan ketika pusingan terakhir perlumbaan pada Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2018 di Dataran Bandar Penawar, kelmarin menyerahkan kepada pihak berkenaan untuk menjalankan siasatan.

Bapanya, Nor Azman Mad Darus, 54, berkata perkara itu sudah berlaku dan pihaknya tidak mahu memanjangkan apa yang berlaku atau merancang untuk mengambil tindakan susulan atas apa yang menimpa anaknya.

“Kalau boleh kami tak mahu panjangkan lagi perkara ini. Sebagaimana yang saya jelaskan semalam, biarlah pihak pengurusan menjalankan tugas mereka, menyiasat apa sebenarnya yang berlaku hingga perkara itu boleh terjadi.

“Sebagai bekas pelumba sudah tentu insiden ini memberikan kesan kepada saya.

“Begitu juga kepada bapa di luar sana yang mempunyai anak yang meminati sukan permotoran, pastinya hasrat mereka mahu memastikan litar perlumbaan adalah selamat untuk digunakan,” katanya ketika dihubungi di Ipoh, hari ini.

Nor Azman berkata, dia bersama beberapa rakan yang juga bekas pelumba motosikal turut berbincang dan mencadangkan supaya pelumba dibenarkan untuk membuat ujian litar terlebih dahulu pada masa depan sebelum ia boleh digunakan pada hari pertandingan.

Katanya, langkah itu penting bagi memastikan pelumba selesa dan tidak salah sekiranya penganjur memberikan peluang untuk mencuba litar sebelum hari perlumbaan sebenar seperti dilaksanakan dalam acara Moto GP.

“Ia sekadar cadangan, bagi memastikan litar itu sesuai dan selamat digunakan dan bagi mengelak kejadian sama berulang dan banyak pihak menuding jari antara satu sama lain,” katanya.

Sementara itu, legenda sukan lumba motosikal negara, Wazi Abdul Hamid, mencadangkan supaya pihak berwajib menyediakan satu garis panduan khas pengendalian sukan permotoran yang perlu dipatuhi semua pihak bagi memastikan aspek keselamatan tidak diabaikan sekali gus mengelak kejadian seumpamanya berulang.

Katanya, jika sebelum ini aspek teknikal dan keselamatan hanya diuruskan penganjur, kini sudah tiba masanya untuk pihak berwajib menyediakan satu garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) yang perlu diikuti sebelum melaksanakan satu-satu perlumbaan.

“Langkah itu juga penting bagi memastikan setiap SOP dan garis panduan dapat diikuti serta mengelak pihak penganjur menyembunyikan beberapa perkara dan aspek yang meragukan bila berlaku kejadian yang tidak diingini.

“Perkara ini perlu diambil serius kerana ia membabitkan soal keselamatan yang kita sama sekali tidak boleh berkompromi dengannya,” katanya.

Berita berkaitan:

  • Siasatan menyeluruh perlu dilakukan
  • 'Tuntut siasatan kematian Hafiz'
  • Jenazah Mohd Hafiz selamat disemadikan [METROTV]
  • 'Dia simpan duit kemenangan untuk kami tunai umrah'
  • Pelumba Cub Prix maut [METROTV]
  • .

  • [UPDATE] AAM tubuh jawatankuasa siasatan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Disember 2018 @ 8:31 PM