Kuala Lumpur: Persatuan Automobil Malaysia (AAM) akan menubuhkan jawatankuasa siasatan dalam tempoh terdekat sebagai usaha untuk menyiasat insiden meragut nyawa pelumba kelas CP150 Norizman Ismail pada sesi ujian masa Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Bandar Baru Kijal, Kemaman, Terengganu, Jumaat lalu.

Pengerusi AAM Tunku Datuk Mudzaffar Tunku Mustapha (gambar) menerusi kenyataan semalam berkata, jawatankuasa itu akan ditubuhkan selepas pihaknya menerima semua dokumen berkaitan membabitkan insiden itu.

“Litar itu sudah diperiksa Inspektor Rasmi Sirkit AAM pada Khamis (3 Mei) bagi memastikan kesemua ciri-ciri keselamatan dan penghalang berada di kedudukan sepatutnya untuk perlumbaan itu.

“Kami ingin menyampaikan ucapan takziah yang tidak terhingga kepada seluruh keluarga dan rakan-rakan Norizman,” katanya.

Pelumba ONEXOX TKKR Racing itu meninggal dunia selepas terbabas sendiri di selekoh pertama dan merempuh penghadang tepi litar di susuli jenteranya.

Berdasarkan laporan, marsyal dan paramedik melakukan rawatan segera manakala bendera merah dikibarkan pada jam 3.52 petang untuk menamatkan sesi latihan.

Jam 3.55 petang, Norizman dibawa menaiki ambulans ke unit trauma untuk menerima rawata segera sebelum dibawa ke Hospital Kemaman dengan mesin sokongan hayat dan pasukan perubatan penuh.

Pihak hospital melakukan usaha terbaik, namun Norizman disahkan meninggal dunia pada jam 4.50 petang.

Norizman memulakan karier di Cub Prix pada 2004 dan bergelar juara kelas perdana sebanyak dua kali dengan yang pertama pada 2005.

Pelumba berusia 32 tahun itu sekali lagi muncul juara pada 2011 bersama pasukan Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Mei 2017 @ 9:26 AM