POLIS Itali berbaris di depan penyokong Eintracht Frankfurt pada aksi Liga Europa di Stadio Olimpico. FOTO EPA
POLIS Itali berbaris di depan penyokong Eintracht Frankfurt pada aksi Liga Europa di Stadio Olimpico. FOTO EPA

ROME: Polis Itali menahan lima penyokong Eintracht Frankfurt selepas berlaku pergaduhan berhampiran Stadio Olimpico di sini, yang berkesudahan pasukan dari Jerman itu menewaskan Lazio dalam aksi Liga Europa, awal pagi tadi.

Kira-kira 9,000 penyokong Jerman bertandang ke ibu kota Itali bagi aksi membabitkan kedua-dua pasukan, yang sudah layak ke pusingan seterusnya dengan Frankfurt mengungguli Kumpulan H, di depan Lazio.

Majoriti penyokong pelawat yang menaiki bas diiringi polis ke stadium.

Namun, sekumpulan 200 hingga 300 penyokong yang datang sendiri berjaya melepasi sekatan polis berhampiran kawasan stadium untuk masuk ke kumpulan Lazio, sambil membaling bom asap dan bunga api, kata polis.

Dalam pertembungan itu, Frankfurt menang 2-1 selepas bangkit daripada ketinggalan, hasil dua gol di separuh masa kedua.

Tidak lama selepas Lazio membuka tirai jaringan, sebilangan kecil penyokong dari Jerman mula mencetuskan masalah di dalam stadium, sebelum pegawai keselamatan dan polis mengarahkan mereka keluar. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Disember 2018 @ 8:14 AM