KAMADA (tengah) diraikan rakan sepasukan selepas meledak gol kedua Lazio.
KAMADA (tengah) diraikan rakan sepasukan selepas meledak gol kedua Lazio.
AFP

Naples, Itali: Daichi Kamada memastikan kekalahan pertama Napoli dalam aksi Serie A selepas jaringannya membantu kemenangan 2-1 Lazio di Naples awal pagi tadi.

Pemain tengah Jepun Kamada mencipta gol pertamanya untuk Lazio sejak berpindah dari Eintracht Frankfurt pada minit ke-52 sekali gus menghadiahkan pasukannya mata pertama mereka musim ini.

Luis Alberto meletakkan Lazio di depan dalam kemenangan yang melonjakkan skuad Maurizio Sarri dari zon penyingkiran ke pertengahan carta liga.

Lazio tidak bernasib baik untuk berpesta gol di Stadio Diego Armando Maradona selepas dua lagi gol mereka menerusi Mattia Zaccagni dan Matteo Guendouzi dibatalkan susulan ofsaid.

"Semua orang menjalankan tugas dengan baik. Malam ini kami tunjukkan yang kami mampu menewaskan pasukan terbaik Serie A," kata Luis Alberto kepada DAZN.

"Ia bukan minggu yang mudah kepada kami dan persembahan cemerlang ini membantu kami untuk perbaiki kelemahan."

Piotr Zielinski menyamakan kedudukan untuk Napoli sejurus selepas jaringan Luis Alberto minit ke-30 namun tuan rumah gagal bertindak balas selepas Kamada meletakkan Lazio di depan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 September 2023 @ 12:08 PM