REAKSI Xavi (kiri) pada perlawanan semalam. FOTO EPA
REAKSI Xavi (kiri) pada perlawanan semalam. FOTO EPA
Agensi

Barcelona: Jurulatih Barcelona, Xavi berkata antara punca pasukannya tersingkir di Liga Europa selepas tewas kepada Eintracht Frankfurt semalam adalah kerana penyokong mereka sendiri.

Filip Kostic menjaringkan dua gol untuk memastikan kelab Jerman itu membuat perhitungan dengan West Ham di separuh akhir.

Walaupun Evan Ndicka dibuang padang pada minit ke-100, Frankfurt dapat bertahan untuk kemenangan muktamad 3-2 sekali gus mara ke separuh akhir menerusi agregat 4-3.

Xavi berang kerana dilaporkan terdapat 30,000 penyokong Frankfurt di Nou Camp ketika kelab Jerman itu hanya diperuntukkan 5,000 tiket.

"Saya cuba memberitahu pemain bahawa perkara paling penting ialah apa yang berlaku di atas padang.

"Tetapi secara logiknya ia boleh menjejaskan fokus kami. Kami cuba memberi tumpuan kepada permainan tetapi kami jelas tidak beraksi dengan baik.

"Kami bukan mahu memberi alasan tetapi ia tidak membantu kami," katanya.

Presiden Barcelona Joan Laporta mengakui sangat malu dengan kegagalan penyokong untuk memenuhi stadium.

"Terus-terang apa yang berlaku ini membuatkan saya berasa malu. Terdapat lebih ramai penyokong pasukan lawan berbanding penyokong pasukan kami sendiri.

"Saya sangat kesal dengan apa yang berlaku. Kami perlu lebih tegas dan tidak boleh membenarkan situasi sama berlaku lagi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 April 2022 @ 10:37 AM