PENYERANG PSG, Neymar. FOTO Reuters
PENYERANG PSG, Neymar. FOTO Reuters
AFP

BELGRADE: Neymar bersedia diturunkan dalam kesebelasan utama Paris Saint-Germain (PSG) menjelang aksi penting Liga Juara-Juara menentang Red Star Belgrade, jika tidak berdepan masalah ketika sesi latihan menjelang perlawanan itu.

"Saya fikir jika latihan hari ini berjalan lancar, sudah pasti dia akan beraksi," kata jurulatih PSG dari Jerman, Thomas Tuchel.

Pemain termahal dunia itu dikeluarkan pada peringkat awal babak kedua, ketika seri 2-2 menentang Bordeaux pada 2 Disember, selepas mengalami masalah pangkal paha, kecederaan sama ketika mewakili Brazil menentang Cameroon pada November.

Dia dijangka bergandingan bersama pemenang Piala Dunia dari Perancis, Kylian Mbappe bagi membentuk gandingan mantap di jentera serangan PSG.

"Ia kelebihan yang besar kepada kami, semua akan melihat kualiti dimilikinya pada perlawanan itu nanti," kata Mbappe.

"Dia akan berada di sana dan membuktikan kualiti dimilikinya bakal membantu kami untuk menang."

Kelab itu memerlukan kemenangan di Serbia pada awal pagi esok, jika mahu meraih tiket ke pusingan kalah mati.

Setakat ini, Red Star masih belum tewas dan tidak melepaskan sebarang gol di peringkat kumpulan Liga Juara-Juara ketika beraksi di laman sendiri, Stadium Rajko Mitic.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Disember 2018 @ 8:24 AM