BINTANG  Bayern Munich,   Robert Lewandowski (dua dari kiri) berlatih bersama rakan sepasukan di  Belgrade, Serbia. - FOTO Agensi
BINTANG Bayern Munich, Robert Lewandowski (dua dari kiri) berlatih bersama rakan sepasukan di Belgrade, Serbia. - FOTO Agensi
Reuters

BAYERN Munich mahu memastikan tiga mata milik mereka seterusnya mengesahkan kedudukan selaku pendahulu Kumpulan B ketika berkunjung ke Red Star Belgrade dalam aksi Liga Juara-Juara, menurut jurulatih, Hansi Flick.

Gergasi Jerman itu mengetuai kumpulan dengan 12 mata maksimum, lima mata di hadapan Tottenham Hotspur bermakna mereka kekal di puncak dengan kelebihan perlawanan jika menang di Stadium Rajko Mitic awal pagi esok.

Red Star yang menewaskan Bayern 4-3 secara agregat pada separuh akhir Piala Eropah 1991 di tangga ketiga manakala pasukan tercorot, Olympiakos dengan satu mata.

"Kami tahu atmosfera di stadium ini sangat istimewa dan kami teruja dengan cabaran untuk menewaskan Red Star esok,” kata Flick yang mengambil alih tugas sebagai pengurus sementara selepas Niko Kovac dipecat pada 3 November lalu.

"Mereka pasukan bagus yang mengejutkan banyak pasukan hebat di sini dan kami tahu mereka menjadi prospek berbeza berbanding sebelum ini.”

Flick bermula cemerlang menerusi tiga kemenangan berturut-turut dengan Bayern menjaringkan 10 gol tanpa melepaskan sebarang jaringan selepas bekas pemain tengah kelab itu mengambil alih tugas daripada Kovac.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 November 2019 @ 9:03 AM