Mohd Shazli (tengah), Mohd Syahrizan (tiga kanan) dan Abdul Aziz Yeop (tiga kiri) berbincang sesuatu selepas mesyuarat jawatan kuasa pengelola perlawanan akhir Unifi Piala Malaysia di Stadium Shah Alam. FOTO Rosdan Wahid
Mohd Shazli (tengah), Mohd Syahrizan (tiga kanan) dan Abdul Aziz Yeop (tiga kiri) berbincang sesuatu selepas mesyuarat jawatan kuasa pengelola perlawanan akhir Unifi Piala Malaysia di Stadium Shah Alam. FOTO Rosdan Wahid
Zulfaizan Mansor


SHAH ALAM: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) akan mengeluarkan 72,000 tiket bagi final Piala Malaysia antara Terengganu dan Perak di Stadium Shah Alam, Sabtu ini.

Jumlah itu merangkumi 70,000 tiket dewasa yang berharga RM50 sekeping dan 2,000 untuk kanak-kanak (RM5 sekeping).

Ketua Pegawai Operasi MFL, Mohd Shazli Shaik Mohd berkata setiap pasukan akan diperuntukan 30,000 tiket dewasa dan 750 bagi kanak-kanak.

Katanya, baki 10,000 tiket dewasa dan 500 kanak-kanak akan dijual secara dalam talian (online) dengan setiap penyokong hanya dihadkan pembelian kepada empat tiket sahaja.

"Perkara baru yang kita cuba laksanakan adalah kerjasama bersama syaikat Al-Ikhsan. MFL mencadangkan kepada pasukan jika ingin menggunakan cawangan Al-Ikhsan sebagai satu platform penjualan tiket.

"Mungki dengan cara itu penyokong tidak hanya menumpukan stadium di Perak dan Terengganu, malah ia juga menyenangkan penyokong di Lembah Klang untuk mendapatkan tiket.

"Tarikh dan masa penjualan tiket online kita akan maklumkan kemudian. Perak akan mulakan penjualan pada pagi Khamis ini, cuma Terengganu masih belum diputuskan," katanya.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) Abd Aziz Yeop Jamaluddin berkata penjualan tiket akan mula dijual di Tanjung Malim bermula jam 10 pagi hingga 2 petang pada Khamis ini.

"Bagi di Stadium Perak, Ipoh, kita akan mula jualan pada Jumaat dari jam 9 pagi hingga habis tiket. Penyokong di Lembah Klang yang ingin dapatkan tiket juga boleh terus menghubungi kami," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Eksekutif Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) Mohd Syahrizan Mohd Zain berkata, segala keputusan mengenai proses penjualan akan diputuskab selepas mesyuarat persatuan itu esok.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Oktober 2018 @ 7:53 PM