ANTONIO (kanan) sudah bersama JDT sejak 2014. FOTO/FAIL
ANTONIO (kanan) sudah bersama JDT sejak 2014. FOTO/FAIL
Zulfaizan Mansor

 

KUALA LUMPUR: Adakah Marcos Antonio dan Fernando Elizari bakal meninggalkan Johor Darul Ta’zim (JDT)?

Itu persoalan yang timbul selepas kelab berkenaan mengeluarkan kenyataan di laman facebook rasmi mereka, JOHOR Southern Tigers, hari ini.

“Terima kasih untuk musim yang indah dan segala bakti anda untuk Johor Darul Ta’zim sejak 2014, Marcos Antonio.

“Anda akan sentiasa menjadi legenda kami dan kami mengucapkan selamat maju jaya buat anda.

“Terima kasih untuk musim yang indah dan segala bakti anda untuk Johor Darul Ta’zim pada tahun 2018, Fernando Elizari. Kami mengucapkan selamat maju jaya buat anda,” kata kenyataan itu.

Antonio sudah mengecapi beberapa kejayaan selepas lima tahun bersama JDT, sementara  Elizari pula baru menyertai kelab Harimau Selatan itu musim ini.

Terdahulu, pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menerusi laman facebook sama memberi jaminan juara Liga Super lima kali berturut-turut itu akan tampil dengan skuad lebih mantap musim depan.

“Terima kasih kepada semua pemain JDT untuk musim ini. Syabas dan tahniah kerana berjaya mencapai sasaran ditetapkan.

“Kepada semua penyokong, terima kasih atas sokongan hebat yang diberikan sepanjang 2018. Anda adalah tulang belakang pasukan.

“Kita nantikan musim 2019 yang lebih menarik, di mana JDT akan bermain dalam saingan Liga Juara-Juara Asia. Saya berjanji bahawa JDT akan lebih kuat pada tahun 2019,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Oktober 2018 @ 12:14 AM