KEMASUKAN Fernando Elizari diumumkan menerusi akaun Facebook rasmi JDT, Johor Southern Tigers. FOTO Ihsan Johor Southern Tigers
KEMASUKAN Fernando Elizari diumumkan menerusi akaun Facebook rasmi JDT, Johor Southern Tigers. FOTO Ihsan Johor Southern Tigers
Syafiq Aznan

 

KETIKA jendela perpindahan berbaki sehari lagi, pendahulu Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) akhirnya membawa masuk seorang lagi pemain import baharu iaitu Fernando Elizari.

Perkembangan itu diumumkan menerusi akaun Facebook rasmi JDT, Johor Southern Tigers, hari ini yang turut mengesahkan kelibat bekas pemain San Lorenzo berkenaan akan tiba menyertai pasukan terbabit, esok.

Kemasukan pemain berusia 27 tahun itu hanya sehari selepas skuad Harimau Selatan mengumumkan ketibaan seorang lagi pemain import, Fernando Marquez juga dari Argentina bagi memperkasa pasukan dalam misi beraksi ke saingan Liga Juara Juara Asia (ACL) musim hadapan.

Pengendali JDT, Raul Longhi mengakui kehadiran Elizari dapat menyamai peranan yang pernah dimainkan oleh bekas bintang pasukan itu, Jorge Pereyra Diaz sebelum ini.

“Bekas pemain San Lorenzo ini akan bergandingan bersama Fernando Marquez sebagai penyerang kedua, selain boleh bermain di bahagian sayap kiri dan kanan sama seperti tugas yang kami berikan kepada Jorge Pereyra Diaz ketika beliau bersama kelab ini dulu.

“Fernando Elizari akan membuat persiapan untuk perlawanan akan datang sebaik sahaja tiba pada Ahad ini,” kata Longhi.

Situasi ini sekali gus menimbulkan persoalan terhadap nasib dua pemain import yang ditandatangani pada awal jendela perpindahan lalu iaitu Harry Novillo dan Jorge Santos bersama pasukan itu.

Dengan kuota import yang sudah lengkap menerusi kemasukan dua pemain terbabit, selain slot import di JDT II juga penuh, sudah tentu tiada jalan lain buat Novillo mahupun Santos daripada digugurkan.

 

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Jun 2018 @ 11:00 PM