AKSI JDT melawan TFC pada perlawanan separuh akhir pertama. -Foto fail
AKSI JDT melawan TFC pada perlawanan separuh akhir pertama. -Foto fail
Firdaus Hashim

KUALA LUMPUR: Bahang aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia membabitkan pertemuan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Terengganu FC diibaratkan seperti ‘pisang goreng panas’ apabila tiket untuk aksi itu sudah habis dijual hari ini.

Perlawanan yang akan berlangsung di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin, malam esok bakal menentukan pasukan mana akan melangkah ke perlawanan akhir pada 27 Oktober ini.

Menerusi kenyataan di laman facebook JDT iaitu Johor Southern Tigers (JST), kelab Harimau Selatan itu menyampaikan ucapan terima kasih atas sokongan yang diberikan untuk aksi getir itu.

“Tiket bagi perlawanan separuh akhir kedua unifi Piala Malaysia 2018 antara Johor Darul Ta’zim dan Terengganu FC yang dijadualkan pada 20 Oktober (esok) sudah habis dijual.

“Terima kasih diucapkan kepada para penyokong yang membeli tiket perlawanan berkenaan yang akan berlangsung di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin bermula jam 9.00 malam.

“Kehadiran anda pastinya merupakan azimat buat para pemain untuk memberikan aksi terbaik mereka dalam perlawanan nanti. Luaskan Kuasamu Johor,” kata kelab itu.

JDT yang memenangi Piala Malaysia pada musim lalu ketinggalan satu gol selepas tewas 0-1 di Kuala Terengganu pada aksi pertama 6 Oktober lalu.

Buat skuad penyu pula, kelebihan satu gol itu pastinya mahu dipertahankan anak buah Irfan Bakti yang berhasrat untuk menamatkan kemarau 17 tahun selepas kali terakhir menjulang trofi keramat itu pada 2001.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Oktober 2018 @ 9:59 PM