ULISSES MORAIS
ULISSES MORAIS
Zulfaizan Mansor


KELAB Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) belum bersedia untuk mengumumkan pemain import kuota Asia mereka bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Ketua jurulatih JDT, Ulisses Morais menjelaskan kelab berkenaan tidak dapat mengumumkan siapa pemain itu kerana perlu menjaga beberapa isu teknikal.

Bagaimanapun, pengendali dari Portugal itu mengakui berpuas hati dengan prestasi semasa yang ditunjukkan barisan pemainnya sepanjang persiapan awal untuk mengharungi musim 2018 yang dianggap lebih mencabar.

“Saya amat gembira dengan dedikasi dan kerja keras yang pemain tunjukkan sepanjang latihan. Walaupun saya faham mereka sangat letih disebabkan latihan kecergasan pra musim kami sangat sukar.

“Saya memang tidak mengharapkan keputusan perlawanan persahabatan kerana memahami mereka mengharungi latihan yang sukar pagi dan malam. Saya menilai pasukan ini dari segala aspek dan semua persiapan berjalan dengan lancar.

“Buat masa ini, barisan pemain sudah lengkap dan kami sedang menanti pemain yang berada di China mewakili skuad kebangsaan bawah 23 tahun serta pemain luar negara Asia kami,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook JOHOR Southern Tigers, hari ini.

JDT kini sudah mempunyai empat pemain import termasuk Marcos Antonio, Luciano Figueroa, Jorge Pereyra Diaz dan tonggak Singapura, Harris Harun yang mengisi kuota Asia Tenggara.

Selain pemain import, juara Liga Super empat kali berturut-turut itu juga sudah mengikat beberapa pemain baharu termasuk Adam Nor Azlin, Syamer Kutty Abba, Syafiq Ahmad dan pemain berdarah campuran La’Vere Corbin-Ong.

Selain meraih kejuaraan keempat Liga Super, Morais yang mula membimbing JDT pada pertengahan musim lalu turut mencipta sejarah apabila menghadiahkan kejuaraan Piala Malaysia buat kali kepada skuad Harimau Selatan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 January 2018 @ 4:51 PM