MAURICIO DOS SANTOS NASCIMENTO
MAURICIO DOS SANTOS NASCIMENTO
Rizar Mohd Noor


JOHOR BAHRU: Johor Darul Ta'zim (JDT) tidak menunggu lama mencari pengganti pemain pertahanan, Marcos Antonio yang tidak menyambung kontrak bersama pasukan itu musim depan dengan mengumumkan pemain kelahiran Brazil, Mauricio dos Santos Nascimento sebagai pemain baharu.

Langkah itu diambil untuk menguatkan pertahanan bagi mengharungi kempen Liga Malaysia (Liga M) yang tampak lebih mencabar dan saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) yang menyaksikan JDT akan beraksi di pentas berprestij kelab-kelab Asia.

Sebelum ini, JDT juga mengumumkan tidak meneruskan khidmat pemain tengah Fernando Elizari dan kemungkinan pemain baharu juga akan dibawa masuk selaras dengan falsafah kelab yang ingin terus membaiki prestasi di atas padang.

Nascimento berpengalaman luas di liga Eropah dan pernah menyertai kelab ternama iaitu kelab Serie A, SS Lazio sebelum dipinjamkan ke kelab Spartak Moscow, Russia dan Legia Warsaw, Poland.

Pemain berusia 30 tahun itu memiliki ketinggian 1.85 meter, memulakan karier profesional bersama kelab Brazil, Palmeiras dan kehadirannya bakal menguatkan pertahanan skuad Harimau Selatan musim depan.

Yang pasti, pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dalam kenyataannya baru-baru ini, berjanji untuk menguatkan skuad Harimau Selatan musim depan. Malah langkah itu dilihat tepat memandangkan JDT akan mengharungi kempen ACL yang lebih mencabar.

"Kita nantikan musim 2019 yang lebih menarik, di mana JDT akan bermain dalam saingan Liga Juara-Juara AFC.

Saya berjanji JDT akan lebih kuat pada 2019," kata Tunku Ismail.

Bagaimanapun, dalam keghairahan untuk menguatkan skuad Harimau Selatan musim depan, Tunku Ismail tidak akan melakukan pelaburan secara besar-besaran sebaliknya berbelanja secara berhemah bagi memastikan aliran kewangan JDT diurus dengan lebih profesional mengikut falsafah ditetapkan.

Dengan keputusan tidak menyambung khidmat Elizari dan kemungkinan penyerang import, Fernando Marquez, dua lagi pemain import untuk menguatkan posisi tengah dan serangan mungkin dibawa masuk untuk mengukuhkan pasukan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Oktober 2018 @ 1:24 PM