PELUMBA Mercedes, Lewis Hamilton. FOTO Reuters
PELUMBA Mercedes, Lewis Hamilton. FOTO Reuters
Reuters

LONDON: Pelumba Mercedes Lewis Hamilton mempertahankan seterunya Sebastian Vettel selepas harapan pemandu Ferrari itu untuk mencabar kejuaraan dunia tampak sudah berakhir di Jepun, minggu lalu.

“Saya fikir media perlu menunjukkan lebih rasa hormat kepada Sebastian,” kata Hamilton dalam laman Instagram ketika menghadiri satu pertunjukan fesyen di Tokyo.

Pemandu Britain itu di ambang menjuarai gelaran dunia kelimanya selepas memenangi enam daripada tujuh pusingan perlumbaan terakhir sekali gus memiliki jurang besar 67 mata di depan Vettel berbaki empat pusingan.

Jentera Vettel dengan pelumba Red Bull, Max Verstappen bergesel di Litar Suzuka ketika dia cuba untuk melepasi pelumba Belanda itu yang mengakibatkannya terperosok ke tangga ke-19.

Begitupun, pelumba Jerman itu berusaha keras sebelum menamatkan perlumbaan di kedudukan keenam selepas memulakan saingan di petak kelapan.

Ferrari dan Vettel dikritik hebat susulan kesilapan strategi yang dilakukan termasuk kesilapan pemilihan tayar pada sesi kelayakan terakhir di Jepun selain beberapa kesilapan di atas litar.

Majalah Itali, Autosprint menggunakan gambar Vettel di muka depannya dengan tajuk 'Cavallino Mancante' (Kuda Hilang) dan menggambarkan Ferrari sebagai hilang arah, kurang bersemangat dan menjadi mangsa terhadap banyak kesilapan yang mereka lakukan sendiri.

Gazzetta dello Sport juga mengkritik Vettel sebagai pelumba “yang langsung tidak belajar daripada kesilapan.”

Hamilton begitupun menyuarakan simpatinya terhadap bekas juara dunia dunia empat kali itu.

“Kamu tidak boleh dengan mudah membayangkan betapa susahnya untuk melakukan apa yang kami lakukan di tahap ini, sebagai atlet di permainan tertinggi ia adalah seperti itu,” kata Hamilton.

“Ia sesuatu yang boleh dijangka apabila manusia melakukan kesilapan tetapi bagaimana kami mengharunginya adalah perkara yang utama.”

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Oktober 2018 @ 1:06 AM