HAMILTON hampiri kejuaraan keempat. FOTO/AFP
HAMILTON hampiri kejuaraan keempat. FOTO/AFP
AFP

AUSTIN, Amerika Syarikat: Lewis Hamilton meraih petak depan Grand Prix Amerika Syarikat dalam usaha pemandu Mercedes itu mengesahkan kejuaraan dunia keempat dalam perlumbaan hari ini (awal pagi esok waktu Malaysia).

Pemandu British itu mengatasi pesaing kejuaraan dari Ferrari, Sebastian Vettel pada sesi kelayakan ketiga, manakala rakan sepasukan Mercedes, Valtteri Bottas di tempat ketiga.

Ia adalah petak utama ke-72 Hamilton sepanjang kariernya dan yang ke-11 musim ini.

“Pasukan melakukan kerja yang cukup hebat. Litar cukup mencabar kerana angin kencang. Ia pasti akan menjadi perlumbaan yang hebat,” kata Hamilton.

Hamilton, 32, perlu mengutip 16 mata melebihi Vettel pada perlumbaan kali ini untuk mengesahkan gelaran dunia keempatnya.

“Sukar untuk berlaku kecuali Sebastian melakukan kesilapan - dan dia adalah juara dunia empat kali,” kata Hamilton.

Sekiranya Hamilton menang dan Vettel menamatkan perlumbaan di luar kelompok lima terbaik, dia akan muncul juara tahun ini, dan perlu mengharapkan Vettel di luar kelompok lapan teratas sekiranya pemandu Mercedes itu di tempat kedua.

Jika Hamilton melintasi garisan penamat di tempat ketiga atau lebih, saingan untuk gelaran musim ini akan berlanjutan ke perlumbaan di Mexico hujung minggu depan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Oktober 2017 @ 11:44 AM