LEWIS HAMILTON
LEWIS HAMILTON
Reuters

SPIELBERG, Austria: Pendahulu Formula Satu (F1) berubah empat kali selepas lapan pusingan musim ini, tetapi Lewis Hamilton berharap, jurangnya dengan pelumba Ferrari, Sebastian Vettel di puncak dapat dijarakkan pada perlumbaan di Austria, minggu ini.

Pelumba Mercedes itu memiliki kelebihan 14 mata di belakang juara dunia empat kali berkenaan, susulan kemenangan di Perancis, minggu lalu sekali gus menuju ke Spielberg dengan keyakinan tinggi dapat meneruskan momentum berkenaan.

Mercedes tidak pernah ditewaskan di Austria yang menjadi gelanggang sendiri pasukan Red Bull, sejak ia kembali ke kalendar perlumbaan pada 2014 dengan deretan empat kemenangan berturut-turut.

Begitupun, kemenangan tahun lalu menjadi milik seorang lagi pelumba Mercedes, Valtteri Bottas yang memulakan perlumbaan di petak utama ketika Hamilton dikenakan penalti lapan grip perlumbaan berikutan penukaran kotak gear.

Pada 2016, ia menjadi milik Hamilton, malah kedudukan di Le Castellet juga sama di mana pelumba Red Bull, Max Verstappen meraih kedudukan kedua dan pelumba Ferrari, Kimi Raikkonen di tangga ketiga.

Jadi, Hamilton berharap ia dapat diulangi di Spielberg.

“Saya fikir Austria adalah litar yang cukup bagus. Ia menjadi litar yang baik untuk kami sebelum ini, jadi saya tidak dapat melihat mengapa ia boleh berubah sekarang,” kata Hamilton.

“Saya fikir jentera sepatutnya bagus di sini. Saya fikir Red Bull amat pantas di sini sebelum ini kerana ia adalah litar yang mempunyai daya rintangan yang rendah, jadi ia pasti menarik.”

Selepas Austria, F1 akan ke gelanggang Hamilton di Britain, di mana Mercedes sudah memenangi perlumbaan sebanyak lima kali berturut-turut.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Jun 2018 @ 7:59 PM