KEDAH dapat suntikan daripada jurulatih baru. FOTO/KEDAH FA
KEDAH dapat suntikan daripada jurulatih baru. FOTO/KEDAH FA
Suzalina Halid dan Izzali Ismail


PERSATUAN Bolasepak Kedah (KFA) mengumumkan pelantikan bekas jurulatih kelab Home United Singapura, Aidil Sharin Sahak sebagai ketua kurulatih KFA yang baharu bagi musim hadapan.

Presiden KFA Datuk Seri Mukhriz Mahathir turut mengumumkan bekas jurulatih Piala Presiden, Victor Andrag sebagai penolong ketua jurulatih bagi membantu Aidil Sharin mengendali pasukan Kedah dalam saingan Liga Malaysia 2019.

"Kami akan menandatangani kontrak dengan kedua-dua jurulatih itu dalam masa terdekat. Buat masa ini kami sedang menyelesaikan beberapa rundingan akhir sebelum mereka boleh memulakan tugas, " katanya pada sidang media selepas mempengeruskan Mesyuarat Majlis Eksekutif KFA di Wisma Darul Aman, di sini.

Sebelum ini, skuad Helang Merah dikendalikan pemangku ketua jurulatih Kedah, Azzmi Ab Aziz sejak 17 Ogos lalu selepas ketua jurulatih Kedah, Mohd Nizam Adzha direhatkan daripada jawatan berkenaan.

Mukhriz yang juga Menteri Besar berkata, Aidil Sharin dan Victor yang masing-masing berusia 41 tahun diyakini mampu mengembalikan kegemilangan Kedah yang mengalami kemerosotan prestasi pada musim ini.

Katanya, pelantikan mereka ini menjadi antara usaha pembaharuan dalam skuad Helang Merah khususnya membabitkan barisan pemain yang akan ditentukan kelak.

"Ketua jurulatih yang baharu ini akan diberi mandat sepenuhnya untuk membuat sebarang keputusan termasuk memilih dan mencadangkan barisan pemain baharu termasuk pemain import dan yang sedia ada,” katanya.

Menurutnya lagi, pihak KFA juga membuka permohonan secara terbuka bagi jawatan pengurus pasukan kepada golongan profesional sepenuh masa dengan menghantar permohonan dalam tempoh sebulan bermula hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Oktober 2018 @ 10:09 PM