PEMAIN JDT Mohd Aidil Zafuan Abd Razak diasak Pemain Pahang Mohamadou Sumareh pada perlawanan Piala Malaysia di Stadium Tan Sri Hassan Yunos Larkin. -Foto BERNAMA
PEMAIN JDT Mohd Aidil Zafuan Abd Razak diasak Pemain Pahang Mohamadou Sumareh pada perlawanan Piala Malaysia di Stadium Tan Sri Hassan Yunos Larkin. -Foto BERNAMA
Rizar Mohd Noor


JOHOR BAHRU: Bukan corak permainan Pahang. Itu luahan ketua jurulatih, Dollah Salleh selepas skuad bimbingannya gagal ke separuh akhir Piala Malaysia apabila tumpas 0-2 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) pada suku akhir kedua di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam tadi.

Tegas Dollah, corak dipamerkan pemainnya amat mengecewakan kerana mereka kerap bertahan malah mengakui persembahan pemain skuad Tok Gajah serba tidak menjadi sekali gus tersingkir dengan agregat 1-3.

Beliau juga menganggap ia persembahan terburuk pemainnya musim ini kerana mereka gagal memberikan tentangan terhadap JDT kendalian Benjamin Mora.

“JDT mempamerkan aksi luar biasa dan sukar ditandingi. Kami tewas kerana gagal mengimbangi kekuatan mereka.

“Jentera serangan terutama Patrick Cruz dan Austin Amutu tidak berfungsi dengan baik pada babak pertama dan saya terpaksa mengeluarkan kedua-duanya. Hakikatnya saya akui kami kena terima kekalahan ini.

“Malam ini menentang JDT penentu segala-galanya tapi apa yang dipersembahkan jelas pincang bukan saja di bahagian serangan malah tengah dan pertahanan juga tidak memainkan peranan,” katanya.

Sekalipun menjuarai Piala FA dan layak ke suku akhir Piala Malaysia musim ini, Dollah menganggap kualiti skuad bimbingannya hanya boleh diberikan rating 6 daripada 10.

Bagaimanapun beliau tidak menafikan persembahan pasukan itu dalam Liga Super dan Piala FA di tahap memuaskan namun bagi Piala Malaysia, prestasi mereka terumbang-ambing selepas gagal mengambil kesempatan meraih kemenangan di tempat sendiri.

Mengenai persiapan musim depan, Dollah menegaskan sudah ada perbincangan bersama Presiden Persatuan Bolasepak Pahang (PBNP), Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah untuk mengadakan sesi latihan lebih awal.

“Siapa yang akan dikekalkan atau digugurkan belum ada kata putus lagi kerana saya perlu membuat laporan penuh dan akan menyerahkan kepada Presiden PBNP. Anda tunggu saja keputusannya nanti,” kata Dollah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 September 2018 @ 1:16 PM