PEMAIN Pahang memperagakan jersi baharu di Majlis Pelancaran Jersi, Pengenalan Pasukan dan Aplikasi PahangFA di Hotel Grand Makmur. FOTO ZULKEPLI OSMAN
PEMAIN Pahang memperagakan jersi baharu di Majlis Pelancaran Jersi, Pengenalan Pasukan dan Aplikasi PahangFA di Hotel Grand Makmur. FOTO ZULKEPLI OSMAN
Asrol Awang


PERSATUAN Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) memperkenalkan aplikasi mudah alih PahangFA untuk jualan tiket atas talian dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Pengurus Tok Gajah, Datuk Mohammed Suffian Awang berkata, aplikasi itu bagi memudahkan peminat skuad itu membeli tiket tanpa perlu beratur di kaunter setiap kali perlawanan di Stadium Darul Makmur.

Katanya, peminat Tok Gajah boleh memuat turun aplikasi PahangFA terutama bagi pembelian tiket perlawanan membabitkan Pahang menentang Selangor di Stadium Darul Makmur, Sabtu ini.

“Aplikasi ini juga membuktikan bahawa kita sudah capai tahap lebih baik dari segi penggunaan teknologi.

“Sudah pasti ramai peminat Pahang akan berasa lebih mudah untuk mendapatkan tiket tanpa beratur panjang dan tanpa persoalan luar jangka termasuk membeli tiket daripada pihak tidak berkaitan.

“Namun, peminat masih lagi boleh membeli tiket di kaunter pada hari perlawanan,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran aplikasi PahangFA, jersi baharu dan sesi memperkenalkan skuad Pahang di sini, hari ini.

Pelancaran itu disempurnakan Timbalan Presiden PBNP, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak yang juga Setiausaha Kerajaan Pahang.

Pada majlis itu, Mohammed Suffian berkata, PBNP memperkenalkan tiga warna jersi baharu Pahang iaitu kuning, hijau dan merah jambu bagi saingan Liga M.

Katanya, pelancaran jersi baharu itu adalah kesinambangun penajaan Al-Ikhsan Sport Sdn Bhd iaitu musim kedua bersama PBNP.

“Kita berbangga dengan komitmen dan sokongan Al-Ikhsan Sport dari segi persiapan pasukan terutama jersi pasukan Pahang musim ini,” katanya.

Musim ini, skuad kendalian Dollah Salleh mendaftar 26 pemain termasuk lima import iaitu Dickson Nwakaeme dari Nigeria, Herold Goulon (Perancis), Ivan Carlos dari Brazil, Adam Reed (Filipina) dan Khalil Khamis (Lubnan).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Februari 2020 @ 8:21 PM